Tiket temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mula dijual hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, ia boleh mula dibeli menerusi atas talian di laman web www.kualalumpur2017.com.my pada harga dari RM10 hingga RM20 sahaja.

"Kita hadkan pembelian empat tiket sahaja bagi setiap individu untuk setiap transaksi.

"Ini sebagai antara langkah keselamatan bagi mengelakkan berlakunya penjualan di pasaran gelap," katanya ketika majlis pelancarannya di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Selain menerusi atas talian, pembelian juga boleh dibuat di pusat-pusat jualan tiket yang akan diumumkan kelak serta di venue acara dengan pembayaran secara tunai, debit atau kredit.

Namun hanya 19 acara dipertandingkan yang dilihat kegemaran ramai seperti bola sepak, badminton, gimnastik, sukan akuatik (terjun, renang, acara berirama & polo air), karate, taekwando, pencak silat, bola sepak, futsal, bola jaring, ragbi, berbasikal trek, bola keranjang, sepak takraw, billiard, snuker dan muay, memerlukan tiket.

Ia termasuk juga upacara pembukaan dan penutup KL2017 yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selebihnya iaitu 32 acara lain seperti olahraga, kriket, tenis, tinju dan bola tampar boleh ditonton secara percuma.

Tambah Khairy, begitu juga semua acara temasya Sukan Para ASEAN ke-9 yang akan bermula 17 hingga 23 September ini tidak memerlukan tiket untuk kehadiran dan tontonan.

Apa tunggu lagi? Sebagai tuan rumah, ayuh kita penuhkan venue, Bangkit Bersama dan berikan sokongan kepada kontinjen negara serta bersama menjayakan KL2017!

Sukan SEA ke-29 KL2017 akan membuka tirainya bermula 19 hingga 30 Ogos ini.