SPORTS
Tindakan pesuruhjaya perlumbaan LTdL 2018 adalah wajar - Kumaresan

M Kumaresan mengatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) mengenai insiden yang berlaku semalam adalah wajar. -Foto BERNAMA
Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Ciclista Sports Sdn Bhd menghormati keputusan Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) membatalkan kelayakan seorang pelumba China, Chen Zi Wen daripada bertanding.
Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports, M Kumaresan menjelaskan bahawa tindakan yang diambil oleh pesuruhjaya perlumbaan terhadap pelumba dari pasukan Giant Cycling Team adalah wajar kerana melanggar peraturan UCI.
“Ketua pesuruhjaya melihat insiden pelumba dari China membaling botol minuman ke arah Mohd Hariff Saleh jelas merupakan satu kesalahan serius.
“Jadi, hasil perbincangan lima panel anggota pesuruhjaya perlumbaan atas insiden itu menyatakan sebulat suara untuk membatalkan kelayakan pelumba China itu,” katanya.
Beliau mendedahkan kenyataan berkenaan sebelum bermulanya peringkat keempat perlumbaan LTdL.
Chen dibatalkan daripada LTdL 2018 selepas didapati bersalah menyerang pelumba negara Mohd Hariff Saleh dari pasukan Terengganu Professional Bicycle Racing Team (TSG) selepas berakhirnya perlumbaan peringkat ketiga dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu, semalam.
Insiden itu dilaporkan tular di media sosial dan menerima pelbagai kutukan daripada netizen.
Sementara itu, Mohd Hariff didenda 50 franc Swiss (RM205) kerana melanggar perkara 30.1 namun masih dibenarkan untuk meneruskan perlumbaan LTdL 2018.
—BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami