SUKAN

Tinju: Malaysia sasar tamat kemarau lapan tahun emas Sukan SEA

Bernama 28/08/2025 | 08:49 MYT
Pingat emas terakhir Malaysia dalam acara tinju di Sukan SEA disumbangkan Muhammad Fuad Redzuan menerusi kategori light flyweight (49kg) pada tahun 2017. - Bernama
KUALA LUMPUR: Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) menetapkan sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas dan dua wakil negara mara ke pentas final pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.

Presidennya Datuk Mohamad Iruan Zulkefli berkata, skuad negara yang bakal dibarisi enam atlet dan tiga jurulatih diharap mampu mengulangi pencapaian gemilang meraih emas selepas kali terakhir Malaysia melakukannya pada edisi 2017 di sini.

Beliau berkata barisan atlet yang kini giat membuat persediaan turut menunjukkan kemajuan dan perkembangan positif menjelang temasya sukan dwitahunan itu.

"Persiapan berjalan rancak dan kita harap ada rezeki untuk menang pingat emas. Sasarannya ialah kita mahu dua atlet kita ke final dan sekurang-kurangnya satu emas.

"Untuk Sukan SEA di Thailand, dengan keadaan sekarang kita akan cakap Thailand sebagai pencabar utama, Filipina juga kuat tetapi beberapa negara lain sedang meningkat naik macam Vietnam dan Indonesia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Mohamad Iruan, cabaran Vietnam dan Indonesia tidak boleh dipandang ringan selepas kedua-dua negara itu sudah menggunakan khidmat bekas jurulatih skuad Thailand dalam usaha meningkatkan prestasi atlet masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata PTM sedang merancang menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sebagai medan persiapan peninju negara sebelum menjalani fasa latihan terakhir yang dijangka diadakan di Kazakhstan.

Beliau berkata pihaknya juga dalam perbincangan untuk mengadakan kejohanan empat penjuru yang bakal melibatkan Malaysia, Singapura dan dua lagi negara yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Kita ada juga kejohanan di India pada bulan November tapi kita sedang meneliti sesuai atau tidak kerana ia berlangsung dekat dengan tarikh Sukan SEA," tambah beliau.

Sebagai rekod, pada Sukan SEA 2023 di Kemboja, kem tinju negara meraih tiga gangsa masing-masing disumbangkan Muhd Abdul Qaiyum Ariffin dalam kategori flyweight 51 kilogram (kg) Mohd Ridzuan Johari (lightweight 60kg) dan Indran Rama Khrisnan dalam cruiserweight 86kg.

Pingat emas terakhir Malaysia dalam acara tinju di Sukan SEA disumbangkan Muhammad Fuad Redzuan menerusi kategori light flyweight (49kg) pada tahun 2017.

-- BERNAMA


#tinju #Sukan SEA #Malaysia #kemarau emas