Juara tiga kali Liga Hoki Malaysia (LHM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa bergelut sebelum menang tipis 3-2 ke atas pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada aksi pembukaan saingan Divisyen Premier liga itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Jumaat malam.

TNB yang muncul juara dari 2001 hingga 2003 membuka tirai jaringan menerusi gol padang pemain kebangsaan, Muhamad Ramadan Rosli pada minit ke-24 sebelum pemain import UniKL dari Belanda, Jeroen Dolf Hertzberger menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-38.

Selang tiga minit kemudian, seorang lagi pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil kembali meletakkan TNB di depan setelah menyempurnakan pukulan penalti stroke namun Hertzberger meledak gol peribadi kedua pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti.

Syed Syafiq Syed Cholan muncul wira TNB apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi gol padang pada minit ke-55.

Terdahulu, pasukan 'adik' TNB iaitu TNB Thunderbolts menang tipis 2-1 ke atas Maybank dalam satu lagi aksi pembukaan yang berlangsung di venue yang sama.

Pemain import dari Australia, Wookey Oscar William terlebih dahulu meletakkan Maybank di hadapan seawal minit kelapan perlawanan menerusi pukulan penalti stroke sebelum TNB Thunderbolts bangkit meraih dua jaringan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-43 dan jaringan padang Arif Sabron pada minit ke-59.

Dalam pada itu juara bertahan Divisyen Premier, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) meraih trofi kedua musim ini setelah menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 5-4 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu yang berlangsung pada petang tadi.

Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan pukulan penalti setelah kedua-dua pasukan seri 2-2 pada aksi penuh perlawanan. Perlawanan ini turut termasuk dalam perlawanan liga dan pemenang diberikan mata.

Untuk rekod, KLHC meraih trofi sulung mereka, musim ini setelah menewaskan pasukan sama 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final Piala Tan Sri P. Alagendra, minggu lepas.

Hanya enam pasukan sahaja mengambil bahagian dalam saingan Divisyen Premier LHM 2018 iaitu KLHC, THT, TNB, TNB Thunderbolts, Maybank dan UniKL. -- Bernama