SUKAN

TNB Thunderbolts platform terbaik lonjak bakat muda hoki negara

Malekah Aisyah 04/12/2025 | 05:45 MYT
Pelapis negara terus digilap di bawah program pembangunan TNB Thunderbolts. - Foto TNB
TENAGA Nasional Berhad (TNB) kekal menjadi pemangkin utama dalam pembangunan sukan hoki negara sejak lebih dua dekad, memainkan peranan besar ketika Malaysia berusaha mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai kuasa besar hoki Asia.


Ringkasan AI
  • Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal menjadi pemangkin utama dalam pembangunan sukan hoki negara sejak lebih dua dekad, memainkan peranan besar ketika Malaysia berusaha mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai kuasa besar hoki Asia.
  • Di sebalik tumpuan terhadap Speedy Tigers, TNB terus bekerja di belakang tabir, membina pemain, memperkukuh program sekolah angkat dan melahirkan pelapis masa depan hoki negara. Berkat komitmen berterusan ini, lahirlah pemain berbakat seperti Shello Silverius, Azrai Aizad Abu Kamal dan Syed Syafiq Syed Cholan, menjadikan TNB antara penyumbang terbesar dalam memastikan Malaysia sentiasa memiliki barisan pemain berkualiti.
  • Di peringkat pertandingan pula, TNB memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai kejohanan hoki utama, termasuk Piala Sultan Azlan Shah, kejohanan berprestij yang telah pun melabuhkan tirainya baru-baru ini.


Di sebalik tumpuan terhadap Speedy Tigers, TNB terus bekerja di belakang tabir, membina pemain, memperkukuh program sekolah angkat dan melahirkan pelapis masa depan hoki negara.

Berkat komitmen berterusan ini, lahirlah pemain berbakat seperti Shello Silverius, Azrai Aizad Abu Kamal dan Syed Syafiq Syed Cholan, menjadikan TNB antara penyumbang terbesar dalam memastikan Malaysia sentiasa memiliki barisan pemain berkualiti.

Di peringkat pertandingan pula, TNB memainkan peranan penting dalam menyokong pelbagai kejohanan hoki utama, termasuk Piala Sultan Azlan Shah, kejohanan berprestij yang telah pun melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Samsul Ariffin Zainuddin, berkata komitmen tersebut meliputi bantuan kewangan, penyediaan pemain serta sokongan teknikal, mencerminkan komitmen TNB terhadap pembangunan sukan hoki di semua peringkat.

Samsul Ariffin ketika sesi temu bual di program Nadi Arena baru-baru ini. - Foto Youtube Astro Arena


“Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya, TNB meneruskan Klinik Hoki TNB untuk pelajar sekitar Ipoh, memberi peluang kepada mereka berlatih bersama pemain kebangsaan, inisiatif yang diadakan seiring dengan penganjuran Piala Sultan Azlan Shah yang baru sahaja berakhir minggu lalu,” katanya.

Buat pertama kali, para pelajar turut berpeluang melihat sendiri sesi latihan pemain profesional dari jarak dekat.

Pada masa sama, TNB menyumbangkan set peralatan hoki lengkap kepada 12 sekolah di Perak, termasuk Malay College Kuala Kangsar (MCKK), SMK Gunung Rapat dan SK Seri Biram.

“Hoki bukan sukan yang murah, sebab itu kami bantu sekolah-sekolah ini agar lebih ramai pelajar mendapat peluang untuk bermain,” jelas beliau.

Melalui program TNB Thunderbolts, tujuh sekolah angkat kini menjadi pusat pembangunan bakat negara seperti Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), SMK Seberang Temerloh, SMK Anderson, SMK Pengkalan Permatang, SMK Syed Hassan dan Sekolah Tinggi Melaka.

Selaras usaha memperkasa pembangunan hoki di peringkat sekolah, program TNB Thunderbolts turut memainkan peranan penting.

Melalui inisiatif ini, tujuh sekolah angkat dijadikan pusat pembangunan bakat hoki negara iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), SMK Seberang Temerloh, SMK Anderson, SMK Pengkalan Permatang, SMK Syed Hassan dan Sekolah Tinggi Melaka bagi memastikan pelajar berbakat dapat dibimbing secara berterusan hingga ke peringkat lebih tinggi.

Matlamat jangka panjang TNB adalah memastikan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu sekolah angkat untuk meluaskan kumpulan pemain junior (pemula) dan kebangsaan.

“Kami tidak ambil pemain yang siap. Kami membangunkan bakat dari sekolah, dari langkah pertama mereka memegang kayu hoki,” tambahnya.

Shello merupakan tonggak utama The Speedy Tigers, antara bakat kelahiran program Thunderbolts yang semakin menyinar dalam pentas hoki negara. - Foto Astro Arena


Shello, pemain kelahiran Sabah yang menyertai program TNB Thunderbolts pada 2013, menjadi antara bakat Malaysia Timur yang kini memantapkan posisi penting dalam The Speedy Tigers.

“TNB memberi peluang kepada bakat di Sabah dan Sarawak. Dari situ saya bermula melalui program TNB Thunderbolts,” katanya.

Azrai Aizad adalah bakat dilahirkan menerusi sekolah angkat Thunderbolts dan kini mengorak langkah lebih jauh dalam arena sukan hoki negara. - Foto Astro Arena


Azrai Aizad pula ditemukan ketika mewakili SMK Anderson, sekolah angkat TNB sejak 2004, dan mengakui sistem TNB Thunderbolts membuka banyak ruang yang sukar dicapai sebelum ini.

“Program TNB Thunderbolts banyak membantu saya dan generasi baharu, saya dapat bermain lebih banyak perlawanan dan bersaing dengan pasukan besar seperti SSTMI dan SSBJ,” katanya.

Syed Syafiq merupakan bakat yang lahir daripada program TNB Thunderbolts namun kini merupakan kakitangan TNB, membuktikan syarikat itu memastikan kerjaya tidak terhenti setakat itu sahaja. - Foto Astro Arena


Bagi pemain Speedy Tigers, Syed Syafiq, TNB Thunderbolts menjadi platform yang bukan sahaja mengangkat kariernya sebagai atlet, malah membina masa depan bersama TNB.

“TNB bukan sekadar mencungkil bakat. TNB memberi peluang kerjaya kepada pemain selepas habis zaman sebagai atlet,” ujarnya.

Dari klinik akar umbi, sokongan teknikal kejohanan antarabangsa, sekolah angkat hingga tawaran kerjaya, TNB kini membina ekosistem pembangunan hoki paling menyeluruh di Malaysia.

Dengan kisah kejayaan seperti Shello, Azrai dan Syed Syafiq, TNB membuktikan bahawa pembangunan atlet bukan lahir daripada bakat semata-mata, tetapi melalui peluang, bimbingan dan komitmen jangka panjang.



#TNB #TNB Thunderbolts #Speedy Tigers #Piala Sultan Azlan Shah #sukan hoki