Tokyo 2020: Azizulhasni ketuai kumpulan terakhir atlet tiba dari Tokyo

Bernama
Ogos 9, 2021 11:51 MYT
Azizulhasni bersama rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan ratu terjun Pandelela Rinong tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang tadi. - Foto Kementerian Belia dan Sukan
SEPANG: Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 Datuk Mohd Azizulhasni Awang, yang selamat tiba ke tanah air bersama kumpulan terakhir kontinjen negara pada petang ini, diberikan sambutan sederhana dengan mematuhi penjarakan fizikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Beliau bersama rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan ratu terjun Pandelela Rinong, pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH071 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun.
Meskipun terlepas pingat emas yang diidamkan kepada juara bertahan Jason Kenny dari Great Britain, Mohd Azizulhasni, yang diberi jolokan 'The Pocket Rocketman' itu, beraksi cemerlang untuk meraih perak acara keirin lelaki di Velodrom Izu semalam.
Turut tiba bersama mereka ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pasukan sokongan Institut Sukan Negara dan ahli sekretariat.
Kesemua 28 individu yang tiba hari ini akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di sebuah hotel.
Olimpik Tokyo 2020 | Azizulhasni Awang hadiahkan perak buat negara
Mereka yang tiba pada jam 5.20 petang disambut oleh Timbalan Menteri Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli.
Kontinjen Malaysia diwakili 30 orang atlet bagi Sukan Olimpik kali ini yang berlangsung dengan kekangan pandemik COVID-19, bermula 23 Julai hingga 8 Ogos lepas.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang #Tokyo 2020 #Sukan Olimpik Tokyo #Pandelela Rinong #KBS #Muhammad Shah Firdaus Sahrom #Reezal Merican Naina Merican #Mohamad Norza Zakaria #Olimpik #Kementerian Belia dan Sukan #Tokyo