Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini memperkenalkan reka bentuk pingat yang bakal menjadi rebutan atlet dari seluruh dunia pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pingat emas, perak dan gangsa berserta reben dan bekasnya bagi kedua-dua temasya sukan itu diperkenalkan pada majlis "1 Year to Go!" Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Tokyo, Jepun hari ini.

Menurut laman web: https://tokyo2020.org, pingat berkenaan direka Junichi Kawanishi, pemenang pertandingan yang menerima penyertaan lebih 400 pereka profesional dan pelajar reka bentuk.

Pingat berkenaan bergaris pusat 85 milimeter (mm), berukuran 7.7mm pada bahagian paling nipis manakala 12.1mm pada bahagian paling tebal.

Menurut jawatankuasa itu, pingat emas menggunakan lebih 6 gram penyaduran emas pada perak tulen, pingat perak diperbuat daripada perak tulen dan pingat gangsa menggunakan aloi tembaga merah yang terdiri daripada 95 peratus tembaga dan lima peratus zink.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menetapkan beberapa butiran mandatori dalam reka bentuk pingat yang termasuk simbol lima gelung ikonik, nama rasmi temasya dan dewi kemenangan Greek, Nike, di depan stadium Panatheniac.

Reben pingat pula menggunakan motif reka bentuk tradisional Jepun dalam 'ichimatsu moyo' (corak petak-petak) dan kasane no irome (teknik pelapisan kimono tradisional) yang mencerminkan Jepun dan cara negara itu menunjukkan "Perpaduan dalam Kepelbagaian", katanya.

Reka bentuk pingat Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 diperkenal. Foto: AP

Sementara itu, reka bentuk bekas pingat pula diilhamkan oleh lambang temasya Tokyo 2020 dan setiap bekas memberi penghormatan kepada pemenang yang sampai ke kemuncak dalam pencapaian seorang atlet.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan mempertandingkan 33 jenis sukan bermula 22 Julai hingga 9 Ogos, 2020, manakala Sukan Paralimpik 2020 dijadualkan berlangsung mulai 25 Ogos hingga 6 Sept dengan menampilkan 22 jenis sukan.

Setakat ini, enam atlet Malaysia layak menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee dalam sukan terjun; Mohd Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif (perahu layar), manakala Khairul Anuar Mohamad dalam memanah.

-- BERNAMA