Tokyo 2020: Zii Jia ditewaskan idolanya, Chen Long, dalam pusingan kalah mati

Faris Danial Razi
Julai 29, 2021 13:01 MYT
Aksi yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia dalam pertemuan di antara Zii Jia dan Chen Long yang juga pemain nombor 6 dunia itu ditamatkan dengan koleksi mata 21-8, 19-21, 21-5. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir selepas ditewaskan pemain dari China, Chen Long dalam Pusingan 16 terbaik sebentar tadi.
Aksi yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia dalam pertemuan di antara Zii Jia dan Chen Long yang juga pemain nombor 6 dunia itu ditamatkan dengan keputusan 21-8, 19-21, 21-5.
Zii Jia, pemain nombor lapan dunia pada awalnya dilihat mengalami kecederaan di bahagian tangan kanannya ketika cuba untuk menyelamatkan pukulan ‘smash’ Chen Long dalam set pertama, minit terawal.
Namun, perlawanan yang berlangsung sehingga set ketiga itu tidak membawa kemenangan kepada pemain berusia 23 tahun itu selepas aksi berlangsung selama 1 jam 10 minit.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain itu terikat 2-2 dengan pertemuan terakhir dimenangi Zii Jia 21-12, 21-18 di Pusingan Seluruh England, pada Mac tahun lalu.
Zii Jia sebelum ini mengakui Chen Long seorang pemain berpengalaman dan sudah menjangkakan bahawa perlawanan kalah mati itu bukan sesuatu yang mudah.
Anak kelahiran negeri Kedah itu turut memaklumkan bahawa dia sangat menghormati Chen Long dan sangat teruja untuk berentap dengan idolanya itu.
Pada perlawanan sebelum ini, Zii Jia, 23 tahun telah mengalahkan pemain Perancis, Brice Leverdez dalam perlawanan terakhir Kumpulan M di Plaza Sukan Musashino Forest pada Rabu dengan mata 21-17, 21-5.
#Tokyo 2020 #olimpik 2020 #Olimpik Tokyo #Lee Zii Jia #Chen Long #Pusingan Seluruh England #England #China