[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
SUKAN

Tolak bersalam secara sopan, tindakan Khabib raih pujian netizen

Sinar Harian 02/06/2025 | 02:15 MYT
Tindakan Khabib menolak bersalaman dengan pengacara wanita semasa siaran langsung final Liga Juara-Juara cetus pujian. - Foto Sinar Harian/Agensi
BEKAS juara UFC, Khabib Nurmagomedov mencuri perhatian ramai ketika menghadiri perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Allianz Arena, Jerman selepas beliau secara sopan menolak untuk bersalaman dengan seorang pengacara wanita.

Khabib, yang hadir sebagai tetamu jemputan CBS Sports, turut menyertai panel siaran langsung bersama beberapa personaliti sukan terkenal termasuk legenda bola sepak Thierry Henry, Jamie Carragher, Micah Richards dan pengacara wanita, Kate Scott.

Ketika sesi pengenalan, Khabib bersalaman dengan semua ahli panel lelaki, namun tidak menyambut huluran tangan Kate.

Sebaliknya, beliau meletakkan tangan di dada sambil berkata sesuatu yang dipercayai sebagai tanda hormat.

Tindakan tersebut menarik perhatian penonton dan mencetus perbualan hangat di media sosial.

Kate Scott turut dilaporkan memohon maaf atas insiden itu dan menyatakan bahawa beliau menghormati pendirian Khabib.

Sikap Khabib itu berlandaskan pegangan agama Islam, yang tidak membenarkan lelaki menyentuh wanita bukan mahram.

Ketegasan beliau dalam menjaga prinsip tersebut menerima pelbagai reaksi, majoritinya positif.

“Khabib dengan penuh hormat menolak untuk bersalaman dengan Kate. #respek,” tulis seorang pengguna di laman X.

“Ini bukan diskriminasi. Ini adalah pegangan agama. Saya harap orang ramai akan faham,” ujar seorang lagi pengguna di platform yang sama.

Dalam perlawanan akhir tersebut, Paris Saint-Germain (PSG) mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas Inter Milan. Khabib turut menyatakan sokongan terbuka kepada kelab gergasi Perancis itu. - Sinar Harian






#Khabib Nurmagomedov #PSG #Liga Juara-Juara #salam