Tolak panggilan Harimau Malaya: Sabah FC nasihat Rizal Ghazali beri penjelasan

Bernama
Mac 16, 2022 13:01 MYT
Pengurusan Sabah FC akan menasihati pemain pertahanannya Rizal Ghazali untuk memberi penjelasan terperinci kepada FAM, mengenai ketidakhadirannya ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya. - Instagram/@rizalghazali15
KOTA KINABALU: Pengurusan Sabah FC akan menasihati pemain pertahanannya Rizal Ghazali untuk memberi penjelasan terperinci kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengenai ketidakhadirannya ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.
Sabah FC dalam kenyataan hari ini menjelaskan, kelab bola sepak itu tidak menyokong penolakan dilakukan oleh mana-mana pemainnya daripada mewakili skuad kebangsaan.
Kenyataan itu turut memaklumkan pengurusan Sabah FC menyokong penuh, bahkan sentiasa bekerjasama dengan pasukan kebangsaan serta pemilihannya.
"Dengan itu, pengurusan Sabah FC akan menasihati Rizal Ghazali untuk memberi penjelasan terperinci kepada FAM mengenai ketidakhadirannya.
"Sebelum ini, Rizal menyatakan dia akan pulang ke kampung halamannya di Kedah untuk menguruskan hal peribadi keluarga," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Pengurus Sabah FC Marzuki Nasir juga akan berhubung dengan Rizal untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi itu, kerana Sabah FC tidak membenarkan pemain mereka menolak panggilan pasukan kebangsaan.
Ini kerana mewakili Harimau Malaya adalah satu pengiktirafan tertinggi dan seseorang pemain bola sepak harus bangga sekiranya terpilih mewakili pasukan kebangsaan, menurut kenyataan itu lagi.
Rizal bakal berdepan hukuman berat sekiranya tidak mempunyai alasan kukuh selepas menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Ketika mengesahkannya, Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar dilapor menjelaskan bentuk hukuman akan diputuskan Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.
Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana kem latihan pusat masih berlangsung di luar tarikh aksi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
-- BERNAMA
#rizal ghazali #Sabah FC #harimau Malaya #penjelasan #Persatuan Bolasepak Malaysia #FAM