Tottenham bukan pencabar kejuaraan, kata Mourinho selepas benam City

Astro Arena
November 22, 2020 02:09 MYT
Giovani Lo Celso (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukannya ketika perlawanan EPL antara Tottenham Hotspur dan Manchester City di Stadium Tottenham Hotspur, London, England, 21 Nov, 2020. (Foto AP)
JOSE Mourinho menegaskan bahawa Tottenham tidak boleh dianggap sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim penuh pertamanya walaupun kini menduduki tangga teratas liga itu.
Spurs mempamerkan aksi kemas untuk menewaskan Manchester City 2-0 dalam perlawanan EPL awal pagi tadi hasil jaringan Son Heung-min dan pemain gantian, Giovani Lo Celso.
Mereka telah memenangi empat perlawanan berturut-turut dalam liga divisyen utama itu dan tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan untuk berada di puncak liga buat kali pertama sejak Ogos 2014.
Tetapi Mourinho, yang meraikan ulang tahun pertamanya bersama kelab itu kelmarin, tidak percaya pasukannya secara tiba-tiba boleh dianggap sebagai pencabar kejuaraan.
"Perasaannya bagus (untuk berada di tangga teratas) tetapi mungkin esok kami sudah berada di tangga kedua semula dan sejujurnya, ia bukan satu masalah buat saya. Saya cuma gembira dengan evolusi ini," katanya kepada BBC Sport.
"Orang ramai tidak boleh menganggap kami berada di sini dan mencabar kejuaraan selepas satu musim.
"Kami tidak bersaing untuk gelaran, kami bersaing untuk memenangi setiap perlawanan.
"Tetapi kami akan tewas dan seri dalam beberapa perlawanan.

Spurs go of the league#TOTMCI pic.twitter.com/MBQTkLbtBu

— Premier League (@premierleague) November 21, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Makan malam kali ini pasti lebih sedap dan tenang. Saya akan menonton perlawanan Atletico Madrid-Barcelona dan tidur seperti bidadari. Tetapi tiada masalah jika Leicester menang (esok) dan kami berada di tangga kedua semula," katanya.
Tottenham menjaringkan dua gol daripada dua percubaan yang dihasilkan -- City lebih unggul dengan lima percubaan -- dalam perlawanan di mana mereka hanya menguasai 34 peratus bola.
Skuad kendalian Mourinho itu beraksi kemas dan jurulatih berbangsa Portugis itu memuji pemainnya kerana mengekalkan perancangan mereka untuk dia memperoleh satu lagi kemenangan ke atas seteru lamanya, Pep Guardiola.
"Disiplin bukan hanya melibatkan perancangan, ia juga melibatkan perancangan kecemasan. Jika seseorang melakukan kesilapan, anda perlu bersedia dengannya.
"Disiplin seperti itu memerlukan usaha yag besar. Saya amat berbangga dengan pemain saya. Mereka amat hebat," tambahnya.
#Jose Mourinho #Liga Perdana Inggeris #Manchester City #EPL #Tottenham Hotspur FC #Son Heung-min #Giovani lo Celso