SUKAN

Tugas sukar menanti Penang FC di Iskandar Puteri - Wan Rohaimi

Bernama 18/10/2025 | 02:30 MYT
Wan Rohaimi tetap berbangga dengan semangat juang tinggi yang ditampilkan anak buahnya yang terus beraksi dengan penuh disiplin dan keberanian hingga wisel penamat. - Foto fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Tugas getir menanti skuad Penang FC apabila berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan timbal balik suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, minggu depan.

Ketua jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata semangat juang dan komitmen tinggi dipamerkan anak buahnya malam tadi, mampu menjadi bekalan penting untuk mengharungi cabaran di gelanggang lawan.

"Saya akui 90 minit di SSI nanti sangat-sangat sukar. Itu gelanggang mereka dan sudah tentu JDT tidak akan beri ruang kepada kita.

"Tapi saya harap apa yang ditunjukkan pemain malam ini dapat diteruskan. Jika mereka kekalkan fokus dan semangat yang sama, insya-Allah kita boleh beri saingan," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Beliau dalam pada itu menegaskan tidak mudah untuk pasukannya bertahan lebih 45 minit selepas ketiadaan Ahmad Irfan Mohd Noor yang dilayangkan kad merah di minit akhir separuh masa pertama.

Namun, Wan Rohaimi tetap berbangga dengan semangat juang tinggi yang ditampilkan anak buahnya yang terus beraksi dengan penuh disiplin dan keberanian hingga wisel penamat.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Xisco Munoz mengakui pasukannya sepatutnya menyudahkan lebih banyak peluang terhidang bagi memastikan kemenangan lebih selesa.

"Sudah tentu kami boleh beraksi lebih baik. Kami mencipta banyak peluang tapi gagal menyudahkannya dengan baik. Dalam bola sepak, apabila memasuki kawasan serangan, kita perlu lebih tenang dan menunjukkan kualiti lebih baik untuk menyempurnakan gerakan," katanya.

Beliau juga mengakui keadaan padang licin akibat hujan turut menyukarkan corak permainan pasukannya, namun ia bukanlah alasan untuk tidak beraksi dengan lebih baik

Perlawanan penuh dramatik di Stadium Bandaraya malam tadi menyaksikan JDT menang 2-1 ke atas Penang FC dan kedua-dua pasukan akan bertemu dalam suku akhir kedua pada 28 Okt.

-- BERNAMA





#Piala FA #Penang FC #JDT #Wan Rohaimi Wan Ismail