BANGKOK: Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong mencatat kemenangan pada perlawanan pusingan pertama kejohanan badminton Masters Thailand berlangsung di Stadium Nimibutr, di sini hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu memerlukan 40 minit sebelum berjaya mengenepikan wakil Brazil Ygor Coelho 21-19, 21-10 untuk berdepan pemain Korea Selatan Heo Kwang Hee pada pusingan kedua esok.

Pemain profesional negara Cheam June Wei turut mara ke pusingan kedua selepas meraih kemenangan 21-18, 21-17 ke atas wakil tuan rumah Kantaphon Wangcharoen.

June Wei bakal berdepan cabaran sengit Angus Ng Ka Long dari Hong Kong, esok.

Seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara Soong Joon Ven pula terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Hong Kong Chan Yin Chak 21-16, 23-25, 22-20.

Sementara itu, beregu campuran profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie hanya mengambil masa 20 minit untuk menundukkan lawan mereka dari Israel Misha Zilberman-Svetlana Zilberman 21-19, 21-14 manakala Chan Peng Soon-Cheah Yee See pula mengenepikan wakil Taiwan Chang Ko Chi-Lee Cheh Chin 18-21, 21-19, 21-15.

Soon Huat-Shevon dijadual berdepan sama ada wakil Jepun Hiroki Midorikawa-Natsu Saito atau pasangan China Cheng Xing-Chen Fang Hui manakala Peng Soon-Yee See pula akan berdepan gandingan Indonesia Amri Syahnawi-Winny Oktavina di pusingan kedua.

Beregu lelaki negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong meneruskan rentak cemerlang mereka menundukkan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi dari Indonesia 27-25, 21-16 untuk berdepan satu lagi wakil Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Pemain perseorangan wanita S.Kisona bagaimanapun gagal ke pusingan kedua selepas tunduk kepada wakil Thailand Pornpicha Choeikeewong 21-19, 15-21, 21-12.

-- BERNAMA