SUKAN

UCL: Liverpool jinakkan Real Madrid di Anfield

Sinar Harian 05/11/2025 | 00:50 MYT
Aksi Alexis Mac Allister ketika menjaringkan gol pertama pasukannya ketika perlawanan Liga Juara-Juara UEFA antara Liverpool dan Real Madrid di Anfield, Liverpool, Britain, 4 Nov 2025. REUTERS
LIVERPOOL meraih kemenangan 1-0 hasil tandukan Alexis Mac Allister pada separuh masa kedua ke atas Real Madrid dalam aksi penuh sengit Liga Juara-Juara (UCL) di Anfield, awal pagi Rabu.

Ia adalah kekalahan pertama pendahulu La Liga itu dalam kempen UCL musim ini.

Skuad kendalian Arne Slot naik ke tangga keenam kumpulan dengan sembilan mata selepas empat perlawanan peringkat liga; satu tangga di bawah Real yang turut mengumpul jumlah mata sama tetapi berada di depan menerusi kelebihan perbezaan jaringan.

Liverpool yang baru tiga hari lalu berjaya menghentikan rentetan kekalahan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), tampil agresif sejurus permainan bermula dan kerap menguji penjaga gol Real, Thibaut Courtois, sebelum Mac Allister menamatkan kebuntuan pada minit ke-61.

Dominik Szoboszlai yang cemerlang sepanjang perlawanan, melambungkan sepakan percuma tepat ke arah kawasan berbahaya dan pemain Argentina itu melonjak paling tinggi untuk menanduk masuk bola, mencetuskan sorakan gemuruh di Anfield.

Liverpool juga sempat meraikan seketika apabila menyangka mereka memperoleh sepakan penalti pada babak pertama selepas sepakan Szoboszlai terkena lengan Aurelien Tchouameni.

Namun, pengadil membatalkan keputusan itu selepas semakan video bantuan pengadila (VAR) dan memutuskan tiada insiden bola terkena tangan berlaku.

Kemenangan itu menjadi tonik buat Liverpool yang akan berdepan Manchester United di Stadium Etihad bagi aksi EPL pada Isnin depan. - Sinar Harian




#Liverpool #UCL #Alexis Mac Allister #Real Madrid