SUKAN

UCL: Merino pacu kemenangan Arsenal di Prague

Sinar Harian 05/11/2025 | 00:40 MYT
Mikel Merino (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika perlawanan UCL antara Slavia Prague dan Arsenal di Prague, Republik Czech, 4 Nov 2025. (Foto AP)
MIKEL Merino meledak dua gol ketika Arsenal mencatat kemenangan selesa ke atas Slavia Prague dalam saingan peringkat liga kempen Liga Juara-Juara (UCL) sekali gus melanjutkan rentetan kemenangan kepada 10 perlawanan dalam semua pertandingan.

Ia juga merupakan kali kelapan berturut-turut Arsenal tidak dibolosi, menyamai rekod kelab yang dicatat pada tahun 1903 merentasi dua musim berbeza.

Pemain Sepanyol itu diturunkan sebagai penyerang utama menggantikan Viktor Gyokeres yang mengalami kecederaan dan sama seperti musim lalu ketika dia mengisi kekosongan Kai Havertz, Merino mempamerkan keupayaan serba boleh untuk menjadi titik rujukan serangan serta menyumbang impak penting buat pasukan.

Gol pembukaan Arsenal hadir pada minit ke-32 selepas video semakan pengadil (VAR) menghadiahkan sepakan penalti apabila Lukas Provod didapati menyentuh bola dengan tangan selepas Gabriel menanduk bola hasil sepakan sudut.

Kapten, Bukayo Saka menyempurnakan sepakan itu ke penjuru bawah gawang.

Arsenal dilihat kurang meyakinkan pada babak pertama dan terpaksa berdepan ancaman awal lawan, dengan Provod hampir menyamakan kedudukan apabila percubaannya tersasar.

Namun, anak buah Mikel Arteta memulakan babak kedua dengan garang dan menambah gol kedua sejurus permainan bersambung apabila Merino menyambut hantaran silang Leandro Trossard untuk disudahkan dengan voli ke penjuru bawah gawang.

Merino menambah gol kedua peribadi pada minit ke-68 menerusi tandukan selepas menyambut hantaran lintang Declan Rice ketika penjaga gol tuan rumah, Jakub Markovic gagal menampan bola.

Turut mencipta catatan bersejarah ialah Max Dowman yang pada usia 15 tahun 308 hari, menjadi pemain termuda beraksi dalam UCL apabila menggantikan Trossard.

Kemasukan Dowman itu memadam rekod Youssoufa Moukoko (16 tahun 18 hari) ketika bersama Borussia Dortmund pada 2020.

Slavia Prague pada mulanya dihadiahkan penalti lewat permainan selepas Provod dijatuhkan oleh Ben White, namun keputusan itu dibatalkan selepas semakan monitor oleh VAR.

Kemenangan ini mengekalkan permulaan cemerlang Arsenal selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan empat kemenangan daripada empat aksi dalam Liga Juara-Juara serta kini mencatat 13 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan. - Sinar Harian






#Arsenal #UCL #Liga Juara-Juara #Slavia Prague