SPORTS

UCL: Situasi bola mati Arsenal buat Real Madrid hilang pedoman, penyokong mula berangan

Astro Arena 09/04/2025 | 02:30 MYT
Declan Rice (kanan) meraikan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan ketika perlawanan suku akhir pertama UCL antara Arsenal dan Real Madrid di Stadium Emirates, London, 8 Apr 2025. (Foto AP)
PEMAIN kebangsaan England, Declan Rice, menyumbang dua jaringan yang menakjubkan untuk meletakkan Arsenal sebelah kaki ke separuh akhir Liga Juara-Juara- Eropah (UCL) dengan kemenangan 3-0 ke atas juara bertahan, Real Madrid, awal pagi tadi.

Lebih parah, La Casa Blanca menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas pemain tengah Perancis, Eduardo Camavinga, dilayangkan kad merah.

Perlawanan di Stadium Emirates itu menyaksikan anak buah Mikel Arteta memberi harapan setinggi gunung kepada penyokong untuk terus bernyawa di pentas tertinggi Eropah.

Tanpa sebarang tekanan dirasai, pertahanan The Gunners yang diketuai William Saliba wajar diberikan tepukan gemuruh apabila berjaya menafikan setiap percubaan Real Madrid dengan David Raya bertindak cemerlang menyelamatkan gawang pasukan tuan rumah.

Dua jaringan sepakan percuma daripada luar kotak penalti Rice memusnahkan mimpi skuad kendalian Carlo Ancelotti membawa bekalan gol tatkala Thibaut Courtois tewas dengan lencongan bola itu untuk kedudukan 2-0.

Kejutan terus berlaku apabila giliran Mikel Merino menghadiahkan jaringan ketiga untuk Arsenal berpuas hati dengan kelebihan tersebut menjelang aksi timbal balik kedua nanti.

Juara LaLiga dua musim lalu itu harus bekerja keras dan segera mencari jalan penyelesaian untuk menghidupkan peluang dalam kempen tersebut.


An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Umum mengetahui Real Madrid sangat terkenal dengan kebangkitan sensasi dalam UCL meskipun mengharungi permainan sukar, namun ia bukanlah tugas mudah untuk mengekalkan gelaran itu musim ini.

Untuk rekod, Rice merupakan pemain kelima yang berjaya menjaringkan dua gol menerusi situasi bola mati dalam UCL selepas Rivaldo, Cristiano Ronaldo (sewaktu bersama Manchester United), Neymar Jr dan Hakim Ziyech ketika menentang gergasi bola sepak dunia itu.




#Real Madrid #Arsenal #UCL #Declan Rice