SPORTS

UCL: TMJ saksi Emi Martinez kecundang, Aston Villa sudah jangka tak boleh lawan PSG

Astro Arena 09/04/2025 | 23:40 MYT
Aksi Nuno Mendes ketika menjaringkan gol ketiga pasukannya pada perlawanan suku akhir pertama UCL antara Paris Saint-Germain dan Aston Villa di Stadium Parc des Princes, Paris, 9 Apr 2025. (Foto AP)
DELEGASI juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang diketuai oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menjadi saksi kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Aston Villa 3-1 dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.
Umum mengetahui juara Ligue 1 itu menjemput baginda selaku tetamu khas bagi melawat pusat latihan serba canggih dan menyaksikan pertemuan gergasi Eropah itu di Parc des Princes.
Menurut ketua jurulatih kem pelawat, Unai Emery, kekalahan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu adalah keputusan yang dijangka, namun berjanji akan segera bangkit menjelang pertembungan timbal balik kedua nanti.
Morgan Rogers terlebih dahulu meletakkan Aston Villa di hadapan pada minit ke-35, tetapi kelebihan yang dimiliki sebagai tuan rumah tidak menggusarkan prestasi PSG untuk mengubah kedudukan menggembirakan peminat tempatan.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Desire Doue menyamakan skor 1-1 untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan seri menuju bilik persalinan.
Pemain baru PSG, Khvicha Kvaratskhelia melakukan rembatan deras daripada sudut sukar untuk meletakkan juara liga utama Perancis itu di depan, empat minit selepas sepak mula babak kedua.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kelincahan pemain tonggak Portugal, Nuno Mendes, mengukir senyuman ketua jurulatih, Luis Enrique, apabila gerakannya menewaskan bintang Argentina, Emiliano Martinez, sekali gus membawa bekalan selesa ke England.
Emery bagaimanapun tidak terlalu kecewa dengan Villa yang melepaskan gol lewat, berkata permainan berjalan seperti yang diharapkan dan menegaskan pasukannya akan lebih positif di laman sendiri, Selasa depan.
“Ia lebih kurang jangkaan saya sebelum perlawanan – 2-1 atau 3-1.
“Kami akan bermain di laman sendiri minggu depan, dan ia akan menjadi cabaran besar buat kami, tetapi kami jauh lebih kuat di hadapan penyokong kami.
“Hari ini, kami perlu berdisiplin dalam pertahanan dan walaupun kami tewas 3-1, kami mempunyai tiga percubaan dalam kotak penalti mereka.
"Lebih kurang, kami mendapat momentum yang betul, untuk menghampiri keputusan. Gol terakhir yang kami bolos, kami perlu menerimanya.
"Ia tidak banyak berubah – kami perlu menang di tempat sendiri, dengan lebih daripada satu gol.
"Pada separuh masa pertama, kami mempunyai tiga atau empat peluang untuk masuk ke dalam kawasan berbahaya mereka, tetapi mungkin hanya satu peluang untuk menjaringkan gol," katanya.
#Liga Juara-Juara Eropah #UCL #Aston Villa #PSG