UFC 252: Stipe Miocic kekal juara heavyweight, DC umum bersara

Haider Yutim
Ogos 16, 2020 05:52 MYT
Ini merupakan pertemuan kali ketiga Miocic (kanan) dengan Cormier. - Foto Instagram/@UFC
JUARA heavyweight UFC Stipe Miocic berjaya mengekalkan takhta kejuaraan dunianya selepas menumpaskan Daniel Cormier dalam aksi ‘trilogi’ UFC 252 pada Ahad.
Pertarungan yang berlangsung di Las Vegas, Nevada itu menyaksikan Miocic dari Amerika Syarikat menewaskan rakan senegaranya menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).
Kedua-dua petarung saling bertukar serangan pada awal pusingan pertama, diikuti dengan Cormier melakukan cubaan ‘take down’ terhadap Miocic.
Perlawanan terhenti seketika apabila jari Cormier terkena pada mata Miocic.
Keadaan mula bertukar lebih agresif pada pusingan kedua, namun Cormier hampir tumpas selepas dijatuhkan oleh Miocic.
Pusingan seterusnya menyaksikan Cormier mula kelihatan letih. Namun keadaan menjadi lebih teruk apabila jari Miocic pula terkena pada mata Cormier.
Bagaimanapun, pengadil Marc Goddard gagal melihat kejadian tersebut menyebabkan perlawanan tetap diteruskan.
Cormier bertarung dengan sebelah matanya kabur, sekali gus mencacatkan prestasinya.
Sungguh pun begitu, dia tetap memberikan saingan sengit terhadap lawannya itu sehingga ke pusingan akhir.
Perlawanan tamat selepas lima pusingan, dan ketiga-tiga juri memberikan markah 49-46, 49-46, 48-47 yang memihak kepada Miocic.
Dengan kemenangan tersebut, Miocic kini memegang rekod profesional MMA sebanyak 20 kemenangan dan tiga kekalahan (20-3).
Kali terakhir dia mempertahankan kejuaraan tersebut ialah ketika pertemuannya dengan Cormier pada Ogos tahun lepas.
Ini merupakan pertemuan ketiganya dengan Cormier.
Pertemuan kali pertama menyaksikan Miocic ditumpaskan oleh Cormier, manakala pada pertemuan kedua pula, Miocic berjaya merampas gelaran heavyweight tersebut daripada Cormier.
BACA: UFC 241: Miocic rampas semula kejuaraan heavyweight dari Cormier
Kali pertama Miocic menjulang kejuaraan dunia heavyweight UFC ialah pada Mei 2016 selepas mengalahkan Fabricio Werdum menerusi keputusan knockout (KO).
Bagi Cormier pula, susulan kekalahan yang dialaminya kali ini, secara rasmi telah mengumumkan persaraannya dari MMA.
#Daniel Cormier #heavyweight #Las Vegas #MMA #Stipe Miocic #UFC #UFC 252