SUKAN

UFC 317: Tumbangkan 'Do Bronx' pusingan pertama, Topuria juara baharu lightweight

Haider Yutim 29/06/2025 | 05:24 MYT
Petarung sensasi Sepanyol, Ilia Topuria mencipta kejutan apabila menumbangkan Charles Oliveira menerusi 'knockout' pusingan pertama, sekali gus merangkul kejuaraan lightweight UFC, pada Ahad. - Foto REUTERS
PETARUNG sensasi Sepanyol, Ilia Topuria mencipta kejutan apabila menumbangkan Charles Oliveira menerusi 'knockout', sekali gus merangkul kejuaraan lightweight UFC, pada Ahad.

Ringkasan AI
  • Ilia Topuria menewaskan Charles Oliveira dengan KO pada pusingan pertama UFC 317 di Las Vegas, sekali gus merangkul gelaran lightweight UFC yang dikosongkan Islam Makhachev.
  • Topuria menepati jangkaannya sebelum pertarungan dengan melancarkan tumbukan padu yang menyebabkan Oliveira rebah, seterusnya menamatkan pertarungan pada minit 2:27.
  • Dalam acara co-main event, Alexandre Pantoja mengekalkan kejuaraan flyweight selepas mengalahkan Kai Kara-France dengan kuncian pada pusingan ketiga.

Aksi UFC 317 yang berlangsung di Las Vegas, Nevada itu menyaksikan Topuria menewaskan 'Do Bronx' pada minit 2:27 pusingan pertama.
Dalam pertarungan tersebut, Oliveira memulakan aksi dengan sepakan kaki yang padu sebelum kedua-dua petarung terus bertukar tumbukan.
Oliveira kemudian membuat kuncian kaki dan berjaya menyeret Topuria ke lantai Octagon, namun Topuria berjaya melepaskan diri dan bangkit semula sambil melancarkan beberapa sepakan rendah ke sisi lawannya yang masih terbaring, sehingga pengadil Marc Goddard mengarahkan Oliveira berdiri.
Kedua-dua petarung terus bertukar tumbukan, dengan Oliveira sempat melepaskan 'uppercut' ke dagu Topuria, sebelum lawannya itu membalas dengan tumbukan cangkuk kanan dan kiri yang menyebabkan Oliveira rebah tidak sedarkan diri.
Topuria turut menambah beberapa tumbukan 'hammerfist' ke kepala Oliveira, sebelum pengadil mencelah dan menghentikan pertarungan, mengisytiharkan Topuria sebagai pemenang.
Sebelum pertarungan, Topuria dengan yakin menyatakan dia akan menewaskan Oliveira menerusi KO pada pusingan pertama bagi merebut gelaran lightweight UFC yang telah dikosongkan itu.
"Saya sudah kata - saya mewakili generasi baru seni mempertahankan diri campuran... ini adalah peringkat seterusnya dalam permainan (MMA). Ini adalah perkara seterusnya, dan inilah yang saya wakili.
"Saya melakukan apa yang kami rancangkan, banyak tumbukan, tangan kanan, cangkuk kiri, dan 'boom' - lampunya padam," kata Topuria dalam temu bual selepas pertarungan.
Topuria, 28, yang berasal dari keluarga Georgia dan dilahirkan di Jerman, mempamerkan pertahanan gelutan (grappling) yang baik menentang Oliveira sebelum menggunakan kelebihan serangan (striking) untuk menguasai pentas.
Kemenangan ini memperkukuhkan rekod profesionalnya kepada 17-0.
Sebagai rekod, Islam Makhachev telah mengosongkan gelaran lightweight yang disandangnya pada UFC 311 selepas menewaskan Renato Moicano, sekali gus mencipta rekod pertahanan kejuaraan lightweight terbanyak dalam sejarah UFC.
Makhachev, yang telah mempertahankan kejuaraan sebanyan empat kali, mengambil keputusan mengosongkan gelaran untuk naik ke divisyen welterweight bagi menentang Jack Della Maddalena, yang baru dinobatkan sebagai juara welterweight UFC selepas menewaskan Belal Muhammad di UFC 315.
Sementara itu, dalam aksi co-main event, juara bertahan flyweight, Alexandre Pantoja dari Brazil mengekalkan kejuaraannya selepas menundukkan Kai Kara-France menerusi kuncian rear naked choke pada minit 1:55 pusingan ketiga.
#UFC 317 #Ilia Topuria #lightweight #Charles Oliveira