Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
SUKAN

UFC 319: Khamzat tumpaskan Du Plessis, raih takhta middleweight

Haider Yutim 17/08/2025 | 05:42 MYT
Takhta middleweight UFC kini bertukar milik selepas jaguh dari Chechnya, Khamzat Chimaev, berjaya mengalahkan juara bertahan, Dricus du Plessis pada acara utama UFC 319 pada Ahad. - Foto Instagram/@UFC
TAKHTA middleweight UFC kini bertukar milik selepas jaguh dari Chechnya, Khamzat Chimaev, berjaya mengalahkan juara bertahan, Dricus du Plessis pada acara utama UFC 319 pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Khamzat Chimaev merampas takhta middleweight UFC selepas menewaskan juara bertahan Dricus du Plessis di UFC 319 melalui keputusan sebulat suara.
  • Pertarungan lima pusingan di Chicago menyaksikan Chimaev mendominasi dengan gusti, takedown dan kawalan lantai, walaupun DDP cuba bangkit pada pusingan akhir.
  • Kemenangan ini melanjutkan rekod tanpa kalah Chimaev kepada 15-0, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai kuasa baharu dalam divisyen middleweight.


Pertarungan lima pusingan yang berlangsung di Chicago, Illinois itu menyaksikan Chimaev menggunakan kelebihan gustinya bagi menafikan setiap percubaan Du Plessis, untuk meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).

Pusingan pertama menyaksikan Chimaev segera melakukan 'takedown' sebaik loceng dibunyikan, malah berjaya mengunci DDP dalam posisi 'crucifix' sambil melepaskan berapa tumbukan untuk mengawal tempo perlawanan.

Memasuki pusingan kedua, masing-masing melepaskan tendangan sebelum Chimaev sekali lagi menjatuhkan lawannya itu dan memaksanya bertahan di bawah pada hampir keseluruhan aksi, diikuti dengan serangan lutut dan tekanan berterusan dari belakang.

Pusingan ketiga pula, Chimaev melancarkan beberapa serangan siku tajam yang singgah di muka DDP, serta mengukuhkan dominasinya dalam kawalan lantai Octagon.

Pada pusingan keempat, Chimaev pantas kembali meraih takedown, membuatkan DDP terus bergelut mencari peluang untuk bangkit, namun ternyata gagal berbuat demikian.

Pusingan akhir pula menyaksikan DDP cuba mengubah haluan dengan melepaskan beberapa tumbukan padu dan percubaan 'guillotine' yang mencemaskan, malah sempat menolak Chimaev ke lantai.

Namun, Chimaev segera melepaskan diri, dan kembali mengawal di bahagian atas lawannya, sekali gus menutup pertarungan hingga ke penghujung sebelum pengadil Marc Goddard menamatkan perlawanan.

Selepas lima pusingan, Bruce Buffer mengumumkan Chimaev sebagai pemenang dan juara baharu middleweight UFC, menamatkan era DDP serta membuka lembaran baharu buat divisyen tersebut.

Bagi Khamzat, kemenangan ini melebarkan rekod tanpa kalahnya kepada 15 - 0.

Khamzat Chimaev, 31, dilahirkan di Gvardeyskoye, Chechnya, Rusia sebelum berhijrah ke Sweden, dan mula mencuri perhatian dunia sejak debut UFC pada 2020 apabila memenangi tiga pertarungan hanya dalam tempoh 66 hari, iaitu satu rekod yang memberangsangkan dalam sejarah UFC.

Beliau yang dikenali dengan julukan nama 'Borz' itu amat terserlah dengan gaya gustinya yang dominan, serta stamina yang luar biasa dalam setiap pertarungannya.

Pertarungan terakhirnya sebelum UFC 319 adalah pada Oktober 2024, iaitu pada aksi UFC 308, apabila beliau menewaskan Robert Whitakker menerusi 'submission' pada pusingan pertama.

Kemenangan itu melonjakkan dirinya ke barisan depan pencabar middleweight, dan membuka jalan untuk pertarungan kejuaraan menentang DDP.



#UFC 319 #middleweight #Khamzat Chimaev #Dricus Du Plessis