Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

UFC 322: Islam Makhachev kini juara baharu welterweight

Haider Yutim 16/11/2025 | 06:05 MYT
Islam Makhachev kini bergelar juara baharu welterweight UFC, dan menjadi petarung ke-11 dalam UFC memenangi kejuaraan dalam dua divisyen. - Foto Instagram/@UFC
ISLAM Makhachev kini bergelar juara baharu welterweight UFC selepas menewaskan petarung Australia, Giacomo "Jack" Della Maddalena, dalam aksi UFC322 sebentar tadi.

Pertarungan acara utama itu menyaksikan jaguh kelahiran Dagestan, Rusia itu menundukkan Della Maddalena yang merupakan juara bertahan, menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) selepas lima pusingan.

Makhachev membuka aksi dengan beberapa tendangan kaki sebelum Della Maddalena membalas dengan kombinasi, namun Makhachev segera menjatuhkan lawannya dengan takedown mudah dan mengawal sepanjang pusingan.

Pusingan kedua menyaksikan Della Maddalena cuba bangkit, tetapi Makhachev sekali lagi membuat takedown, dan terus mendominasi meskipun tiada penyudah.

Della Maddalena meningkatkan pergerakan pada pusingan ketiga dan berjaya melontarkan beberapa tumbukan, namun Makhachev kembali menjatuhkannya dengan double-leg takedown dan mengawal sepanjang pusingan dari half guard.

Makhachev terus melancarkan serangan kaki sebelum menjatuhkan lawannya sekali lagi, disusuli ground-and-pound serta cubaan kuncian.

Di pusingan kelima dan terakhir, Della Maddalena cuba menyerang, tetapi Makhachev terus mendapatkan takedown, memburu beberapa percubaan kuncian dan menutup pertarungan dengan kawalan di lantai sebelum pengadil, Herb Dean menghentikan pertarungan.

Kesemua juri memberikan mata 50-45, 50-45, 50-45 yang memihak kepada Makhachev, sekali gus menobatkannya sebagai juara baharu welterweight UFC.

Dengan kemenangan tersebut, dia menjadi petarung ke-11 dalam sejarah UFC yang memenangi kejuaraan dalam dua divisyen, sekali gus menyamai rekod Anderson Silva dengan 16 kemenangan berturut-turut.

Sebagai rekod, Makhachev melepaskan gelaran lightweight pada Mei lalu selepas memutuskan untuk naik ke divisyen welterweight, memberikan alasan bahawa proses pemotongan berat badan yang semakin sukar telah menjejaskan prestasinya.

Makhachev dilatih oleh bekas juara lightweight dan bintang UFC, Khabib Nurmagomedov yang mengambil alih tugas Allahyarham bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov.

Jaguh berusia 34 tahun itu meraih kejuaraan lightweight UFC pada Oktober 2022 dalam acara UFC 280 selepas menumpaskan jaguh Brazil, Charles Oliveira, dengan kemenangan dominan.

Dia kemudiannya mempertahankan kejuaraan itu dengan bergaya, dua kali menewaskan Alex Volkanovski, iaitu masing-masing di UFC 284 di Perth, Australia, dan UFC 294 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Tidak terhenti di situ, Makhachev terus membuktikan statusnya sebagai petarung 'pound-for-pound' nombor satu dunia selepas mengalahkan Dustin Poirier di UFC 302.

Dengan keputusan terbaharu ini, rekod profesionalnya kini naik kepada 28 - 1.

Sementara itu, dalam acara kedua utama, petarung Wanita Kyrgyzstan, Valentina Shevchenko, Berjaya mengekalkan kejuaraannya selepas menewaskan jaguh dari China, Zhang Wei Li menerusi keputusan sebulat suara selepas lima pusingan.

Ini merupakan kali kedua Shevchenko mempertahankan kejuaraan tersebut selepas gelaran itu dirampas oleh petarung Brazil, Alexa Grasso pada Mac 2023 dalam acara UFC 285.

Dia kemudiaannya berjaya menebus semula kejuaraan tersebut dalam pertemuan ketiganya dengan Grasso pada September 2024, dalam aksi UFC 305, apabila menewaskan lawannya itu melalui keputusan sebulat suara, sekali gus menjadi satu-satunya juara dua kali UFC flyweight wanita.

Pada acara UFC 315, Mei 2025, dia sekali lagi mempertahankan gelaran tersebut apabila menumpaskan Manon Fiorot juga menerusi keputusan sebulat suara.

Schevchenko kini melebarkan rekod profesionalnya kepada 26 - 4.






#Islam Makhachev #UFC 322 #Della Maddalena #welterweight