SUKAN

UFC 325: Volkanovski pertahan gelaran featherweight, tewaskan Lopes di Sydney

Haider Yutim 01/02/2026 | 05:56 MYT
Alexander Volkanovski berjaya mempertahankan gelaran featherweight UFC selepas menumpaskan Diego Lopes pada acara utama UFC 325, pada Ahad. - Foto Instagram/@UFC
ALEXANDER Volkanovski terus mengukuhkan statusnya sebagai raja divisyen featherweight UFC selepas berjaya mempertahankan gelaran tersebut menentang Diego Lopes pada acara utama UFC 325, pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Alexander Volkanovski mempertahankan gelaran raja divisyen featherweight UFC selepas menewaskan Diego Lopes pada UFC 325.
  • Volkanovski menang menerusi keputusan sebulat suara selepas lima pusingan, dengan keputusan juri 49-46, 49-46, 50-45.
  • Kemenangan ini menandakan pertahanan gelaran dunia pertama Volkanovski di Australia, memperluaskan rekod profesionalnya kepada 28-4 dan membuktikan kehebatannya dalam divisyen featherweight UFC.


Berlangsung di Qudos Bank Arena, Sydney, jaguh tuan rumah itu menang menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) selepas lima pusingan, dengan markah juri 49-46, 49-46, 50-45 yang memihak kepada dirinya.

Pertarungan tersebut menyaksikan Lopes memberi tentangan sengit, termasuk satu pukulan kanan padu pada pusingan ketiga, namun pengalaman, pergerakan pantas dan tekanan berterusan Volkanovski memastikan kejuaraan featherweight kekal dalam genggamannya.

Kemenangan tersebut merupakan pertahanan gelaran dunia pertama Volkanovski di Australia, sekali gus melebarkan rekod profesionalnya kepada 28 - 4.

Ia juga kemenangan kedua berturut-turutnya ke atas Lopes, selepas turut menewaskan pencabar dari Brazil itu menerusi keputusan sebulat suara pada UFC 314 di Miami, Florida tahun lalu.

Sebagai rekod, Volkanovski yang memegang kejuaraan featherweight sejak 2019 berjaya mempertahankannya sebanyak lima kali sebelum tewas kepada Ilia Topuria pada Februari 2024 di UFC 298.

Selepas percubaan naik ke kelas lightweight yang berakhir dengan dua kekalahan kepada Islam Makhachev, dan satu kekalahan getir kepada Topuria, ramai menjangkakan zaman kegemilangannya telah berakhir.

Namun, dengan Topuria melepaskan gelaran featherweight untuk mengejar peluang menentang Makhachev, Volkanovski kembali semula ke kelas tersebut untuk menebus semula maruah dan takhtanya.

Dianggap sebagai antara petarung featherweight terhebat dalam sejarah UFC, Volkanovski sekali lagi membuktikan dominasinya meskipun berdepan cabaran generasi baharu.




#UFC 325 #Alexander Volkanovski #featherweight #Juara