UFC Singapura: Ben Askren yakin dapat tumpaskan Demian Maia

Haider Yutim
Oktober 8, 2019 12:14 MYT
Askren (kanan) bakal bertemu Demian Maia (kiri) dalam acara UFC Fight Night 162 di Singapura, pada 26 Oktober ini. - Foto Instagram/UFC/@benaskren
UFC Fight Night 162 bakal menyaksikan pertembungan di antara bekas juara welterweight Bellator dan ONE, Ben Askren dengan jaguh jiu-jitsu dari Brazil, Demian Maia.
Acara yang akan dibintangi petarung seni bela diri campuran (MMA) bertaraf dunia itu bakal diadakan pada 26 Oktober ini di Stadium Tertutup Singapura di Kallang.
Askren, 35, ketika dihubungi Astro AWANI baru-baru ini menyatakan keyakinannya untuk memenangi pertarungan ini.
"Saya rasa pertarungan ini akan memihak kepada saya. Saya akan buat yang terbaik untuk menumpaskan Maia," kata petarung Amerika Syarikat itu.
Dia juga tekad tidak mahu mengulangi kesilapan yang dilakukannya pada perlawanannya yang lepas.
Dalam pertarungan tersebut, tewas kepada Jorge Masvidal dalam masa lima saat sahaja menerusi tendangan 'lutut terbang' yang tepat mengena kepalanya.
Ia sekali gus mencalarkan rekod tanpa kalah yang dipegangnya sebelum ini.
Dalam pada itu, Askren yang pernah bertarung di bawah ONE Championship yang berpangkalan di Singapura, ternyata tidak sabar untuk kembali bertarung di Asia.
Pernah berlatih di gym Evolve MMA yang juga berpusat di Singapura, dia boleh dikatakan mempunyai peminat yang ramai di situ.
"Saya teruja untuk bertarung di Asia, dan teruja untuk kembali," katanya.
Sementara itu dalam sebuah tweet pada Selasa, Askren mendedahkan bahawa dia akan dibayar AS$210,000 (RM880,500) hanya untuk bertarung pada 26 Oktober nanti.
"Saya dibayar 210k (dollar AS) hanya untuk muncul pada 26hb. Berapa (pula) anda dapat setahun?" katanya membalas tweet seorang netizen yang menggunakan nama Anthony Leckey.
Bagaimanapun, dipercayai kata-kata itu hanyalah 'trash talk' (cakap-cakap kosong) yang sering diucapkan oleh sesetengah petarung MMA, terutama dari UFC bagi tujuan permainan psikologi.

I get paid 210k just to show up on the 26th. What do you make yearly? https://t.co/i5SFS22ots

— Ben Askren (@Benaskren) October 7, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Askren sebelum ini pernah menjadi juara dunia welterweight di dua organisasi berbeza iaitu Bellator MMA dan ONE Championship.
Mempunyai rekod MMA 19 menang, satu kalah dan satu ‘no contest’, sudah pastinya dia akan bertungkus-lumus untuk menang selepas tewas di tangan Masvidal pada pertarungan terakhirnya Julai lepas.
#bela diri campuran #Bellator MMA #Ben Askren #Demian Maia #juara welterweight #Mixed Martial Arts #ONE Championship #Stadium Tertutup Singapura #UFC #UFC Fight Night 162 #UFC Singapura