SUKAN

Ujian getir menanti Harimau Muda di Sukan SEA Thailand 2025

Bernama 19/10/2025 | 09:18 MYT
Harimau Muda dijangka berdepan ujian getir menentang Vietnam dalam usaha mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan. - Gambar fail/Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara dijangka menghadapi ujian getir menentang Vietnam selepas ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Laos bagi temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, yang berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.


Ringkasan AI
  • Skuad B-23 negara bakal berdepan cabaran sukar di Sukan SEA 2025, apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos, dengan hanya juara kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke separuh akhir.
  • Perlawanan kumpulan akan berlangsung di Chiang Mai, manakala separuh akhir dan final dijadualkan di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok; Malaysia kali terakhir menang emas pada edisi 2011 di Indonesia.
  • Pasukan wanita negara pula diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Myanmar dan Filipina, manakala pasukan futsal lelaki dan wanita akan bersaing dalam format round-robin dan kumpulan masing-masing.


Menurut Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA, kejohanan bola sepak lelaki akan disertai 10 negara, dengan peringkat kumpulan dibahagikan kepada tiga kumpulan - dua kumpulan masing-masing tiga pasukan dan satu kumpulan empat pasukan.

Di bawah bimbingan Nafuzi Zain, Harimau Muda dijangka berdepan ujian getir menentang Vietnam dalam usaha mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan, manakala Laos juga dilihat berpotensi mencipta kejutan.

Tuah tuan rumah, Thailand, telah ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Kemboja dan Timor-Leste, manakala Kumpulan C pula terdiri daripada Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.

Pasukan yang menduduki tempat teratas setiap kumpulan serta pasukan kedua terbaik akan layak ke separuh akhir.

Perlawanan Kumpulan A yang membabitkan Thailand akan diadakan di Stadium Tinsulanon, Songkhla, manakala perlawanan Kumpulan B dan C dijadualkan di Stadium Ulang Tahun ke-700, Chiang Mai.

Separuh akhir dan perlawanan akhir pula akan berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok.

Untuk rekod, pada edisi 2023 di Kemboja, Malaysia gagal melangkah melepasi peringkat kumpulan selepas hanya menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi sebelumnya di Vietnam pada 2021.

Pasukan bola sepak lelaki kebangsaan terakhir memenangi emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, manakala pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur merupakan penampilan terakhir Malaysia di podium kejohanan itu.

Sementara itu, pasukan bola sepak wanita kebangsaan telah ditempatkan dalam Kumpulan B bersama Vietnam, Myanmar dan Filipina, manakala Kumpulan A terdiri daripada Thailand, Kemboja, Singapura dan Indonesia.

Dalam kejohanan futsal, pasukan lelaki kebangsaan akan bersaing menentang Thailand, Indonesia, Vietnam dan Myanmar secara round-robin, manakala pasukan wanita ditempatkan dalam Kumpulan A bersama Thailand dan Filipina.

-- BERNAMA




#skuad bola sepak bawah 23 tahun #Sukan SEA #ujian getir #menentang Vietnam