Undian Olimpik: Chong Wei dijangka mudah ke separuh akhir

Bernama
Julai 26, 2016 23:09 MYT
Chong Wei dilihat mempunyai laluan mudah di Olimpik. - Gambar fail
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, harapan terbaik Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik, boleh menarik nafas lega apabila undian acara badminton Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil sedikit berpihak kepada beliau.
Dalam undian yang dibuat pukul 11 pagi waktu Brazil, Chong Wei selaku pemain nombor satu dunia, diletakkan sebagai pilihan utama diikuti dua musuh tradisinya Chen Long dan Lin Dan dari China yang masing-masing diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga.
Pemain berusia 33 tahun itu dilihat mempunyai laluan mudah untuk ke separuh akhir apabila diundi dalam kumpulan A bersama pemain di ranking bawah dari Singapura, Derek Wong dan Soren Opti dari Suriname.
Beliau diberikan bye pada pusingan kedua sebelum ke suku akhir untuk berdepan sama ada pilihan keenam dari Taiwan Chou Tien Chen atau Hu Yun dari Hong Kong yang merupakan pilihan ke-10.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu bakal berdepan juara bertahan Lin Dan di separuh akhir.
#badminton #berita sukan #Kumpulan A #Lee Chong Wei #Olimpik Rio #prospek emas #undian