SUKAN

Undian Piala Dunia: ‘Deja vu’ buat Perancis, England, Mexico bertemu Afrika Selatan

Bernama 06/12/2025 | 07:35 MYT
Mexico akan berentap dengan Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 pada 11 Jun, 16 tahun selepas pertemuan pertama mereka pada 2010. - Foto FIFA
WASHINGTON: Mexico akan menentang Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 pada 11 Jun di Mexico City, 16 tahun selepas kedua-dua pasukan turut bertemu dalam aksi pembukaan edisi 2010 di Afrika Selatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Mexico akan berentap dengan Afrika Selatan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 di Mexico City pada 11 Jun, 16 tahun selepas pertemuan pertama mereka pada 2010.
  • Argentina akan menentang Algeria sebagai juara bertahan, sementara Perancis ingin mengelak kejutan seperti kekalahan kepada Senegal pada tahun 2002.
  • England akan berdepan dengan Croatia dalam permulaan yang mencabar, manakala Perancis dan Jerman turut menghadapi lawan yang mencabar dalam kumpulan masing-masing.


Juara bertahan Argentina memulakan kempen menentang Algeria, manakala Perancis tidak mahu berulang kejutan seperti tahun 2002 apabila mereka ditewaskan Senegal. England juga berdepan permulaan sukar menentang Croatia yang menyingkirkan mereka di separuh akhir 2018.

Undian pada Jumaat di Washington turut menyaksikan Mexico diundi bersama Korea Selatan dan pemenang perlawanan semula Eropah. Dua lagi negara tuan rumah, Kanada akan menentang pemenang perlawanan semula Eropah (berkemungkinan Itali), Qatar dan Switzerland, manakala Amerika Syarikat (AS) berdepan Paraguay, Australia dan pemenang perlawanan semula Eropah.

Argentina pula diundi bersama Austria dan Jordan, yang membuat penampilan sulung, dalam Kumpulan J - edisi terakhir Piala Dunia Lionel Messi.

Dua kali juara dunia dan finalis 2022, Perancis, yang pernah tewas kepada Senegal pada aksi pembukaan 2002, mahu mengelak kejutan sama kali ini dalam Kumpulan I yang turut menampilkan Norway pimpinan Erling Haaland dan pemenang perlawanan semula antara benua.

Pemegang rekod juara lima kali Brazil akan menentang pasukan dalam separuh akhir 2022 Maghribi dan Scotland seperti tahun 1998, selain Haiti. Empat kali juara Jerman pula dalam Kumpulan E yang dilihat mampu diurus, bersama pendatang baharu Curacao, Ivory Coast dan Ecuador.

England memulakan aksi menentang Croatia, yang pernah menewaskan mereka di separuh akhir 2018, dan menutup saingan kumpulan menentang Panama, yang pernah mereka tewaskan 6-1 dalam peringkat kumpulan edisi itu. Mereka juga diundi bersama Ghana.

Juara Eropah Sepanyol berada dalam Kumpulan H bersama Cape Verde, Arab Saudi dan Uruguay. Bintang Portugal Cristiano Ronaldo pula mengharungi peringkat kumpulan terakhir kariernya menentang Uzbekistan, Colombia dan pemenang perlawanan semula antara benua.

Kejohanan dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026 itu dianjurkan di tiga negara buat kali pertama dan diperluas daripada 32 kepada 48 pasukan, merangkumi 104 perlawanan berbanding 64 sebelum ini di 16 stadium. AS menjadi tuan rumah kepada 78 perlawanan, manakala Mexico dan Kanada masing-masing 13 perlawanan.

Jadual perlawanan penuh termasuk stadium dan masa sepak mula akan diumumkan oleh FIFA pada Sabtu pukul 1700 GMT.

-- BERNAMA






#Piala Dunia #undian #FIFA #Mexico #Afrika Selatan