SPORTS
United gegar San Mamés, hampiri final Liga Europa
Pemain Manchester United Bruno Fernandes meraikan selepas menjaringkan gol kedua pasukannya di San Mames, Sepanyol. - Foto REUTERS
MANCHESTER United mempamerkan aksi mantap dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa apabila menundukkan Athletic Club 3-0 di Estadio de San Mamés - gelanggang yang kebal sejak Ogos lalu.
United membuka jaringan pada minit ke-30 hasil gerakan luar biasa Harry Maguire di sebelah kanan.
Maguire yang bertindak seperti pemain sayap, melakukan hantaran lintang ke tiang dekat yang disambut Manuel Ugarte sebelum membuat flick cantik kepada Casemiro, yang menanduk masuk gol pertama.
Tujuh minit kemudian, Rasmus Hojlund dijatuhkan Dani Vivian dalam kotak penalti, menyaksikan pertahanan Athletic Club itu dilayangkan kad merah.
Bruno Fernandes tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas semakan VAR.
Pasukan tuan rumah cuba bangkit dengan melakukan dua pertukaran, tetapi United terus garang.
Sebelum rehat, Fernandes meledak gol ketiga selepas menerima hantaran backheel bijak daripada Ugarte, menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan selesa.
Separuh masa kedua menyaksikan United lebih berhati-hati dan mengawal permainan, mengekang sebarang ancaman daripada Athletic Club.
Dengan kelebihan agregat 3-0, United kini di landasan terbaik menjelang aksi timbal balik di Old Trafford pada 8 Mei.
Kemenangan ini bukan sahaja mendekatkan mereka ke final, malah membuka pintu ke Liga Juara-Juara musim hadapan jika menjuarai trofi Eropah ini.