'Usah lagi takut dilanggar Pak Arab!'

Astro Arena
Jun 3, 2021 02:20 MYT
Penyerang berbisa UAE Ali Ahmed Mabkhout jadi sasaran utama skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai, tengah malam ini. - Foto Astro ARENA
SETELAH sekian lama peminat bola sepak tempatan dahagakan aksi kompetitif barisan Harimau Malaya, penantian melampiaskan nafsu itu bakal bernoktah apabila tiba aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi Jumaat ini.
Mungkin masih ada jiwa pesimis yang dibelenggu pandangan serba skeptikal – betapa sukar untuk mengatasi kelebihan fizikal milik pasukan-pasukan dari Timur Tengah. Apatah lagi kita pernah kecundang penuh aib, tumbang 0-10 di tangan lawan sama, hampir enam tahun lalu.
Namun, masihkah faktor itu perlu mencipta bimbang buat barisan pemain kepercayaan kita? Dalam era bola sepak moden seperti hari ini?
Jika masih ada, bermakna sia-sialah usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencari di segenap pelusuk dunia pemain berdarah 'kacukan' Malaysia selain memberikan kerakyatan buat pemain import pemastautin yang rata-ratanya miliki fizikal serba gagah.
Atau adakah lagi yang pandang rendah kemampuan barisan bimbingan Tan Cheng Hoe kerana majoriti pemain masih cari nasi lemak dan roti canai sebagai sarapan ruji? Jangan lupa, ‘Man of the Match’ final Liga Juara-juara Eropah untuk Chelsea, N’Golo Kante pun kerap makan nasi lemak Restoren Tukdin di London tau!
Intinya, bukanlah faktor-faktor sebegitu yang harus terus diperdebatkan.
Kesebelasan pilihan yang bakal diturunkan di Stadium Al-Maktoum, Dubai, wajar melangkah masuk tanpa ada sebarang ragu untuk menang. Turunlah berjuang demi lencana di dada, tanpa sekelumit rasa bimbang, ditunjangi semangat juang selaku pahlawan terbilang!
Usah lagi takut dilanggar Pak Arab!
BACA: Bola sepak: Tebus maruah negara - Dollah Salleh
BACA: Pemain Malaysia bebas gangguan psikologi bertemu UAE
Buat kita peminat dan penyokong Harimau Malaya, bukan waktunya kini untuk berasa sangsi, sebaliknya ayuh kita sama-sama memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.
UAE hadir selaku halangan pertama, sebelum Vietnam dan Thailand menjadi baki dua lawan yang bakal cuba melumpuhkan cabaran kental kita.
Ini bukan misi mustahil. Sukar? Ya, tetapi bukan mustahil!
Pantang anak Malaysia mengaku kalah sebelum berjuang.
Sekian.

Squeaky bum time for Harimau Malaya. Ayuh Malaysiaku! Join our Telegram channel: https://t.co/nQHqw0tL8b pic.twitter.com/MazY00JbkU

— Stadium Astro (@stadiumastro) May 31, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#UAE #Piala Dunia #bola sepak #Dollah Salleh #harimau Malaya #Tan Cheng Hoe #Malaysia #Piala Asia #perlawanan kelayakan #Pak Arab #Emiriah Arab Bersatu #pemain kacukan #pemain berdarah campuran #Vietnam #Thailand #kelebihan fizikal