Vaksin COVID-19: Kumpulan kedua libatkan lebih 1,000 atlet, pegawai - Reezal Merican

Isabelle Leong
April 13, 2021 06:38 MYT
Menurut Reezal Merican, beliau diberitahu, fasa kedua pemberian vaksin akan diberi keutamaan kepada atlet yang menyertai kejohanan dalam negara dan kejohanan penting. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kumpulan kedua Program Imunisasi COVID-19 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka melibatkan lebih 1,000 atlet dan pegawai.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang terlibat dalam pertandingan sukan seperti Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan yang akan menyertai kejohanan utama di luar negara.
“Untuk kumpulan kedua, saya memang usahakan untuk mendapatkan vaksinasi untuk mereka tetapi bergantung kepada bekalan vaksin.
“Saya tidak boleh mengatasi apa yang diusahakan pihak PICK (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) dan juga oleh Khairy Jamaluddin kerana mereka bergelut dengan soal mendapatkan bekalan vaksin.
“Cuma saya diberitahu, fasa kedua akan diberi keutamaan kepada atlet yang menyertai kejohanan dalam negara dan kejohanan penting,” katanya pada sidang media susulan menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Kompleks Sukan DBKL, Taman Desa Tasek, di sini pada Selasa.
Turut terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini ialah 264 atlet dan pegawai yang layak ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo.
Ia melibatkan 35 paralimpik, 93 atlet serta 136 pegawai dan mereka menerima suntikan vaksin secara bergilir-gilir bermula pukul 8 pagi.
Kata Reezal Merican lagi, atlet juga boleh menerima suntikan vaksin daripada luar negara seperti pelumba negara, Hafizh Syahrin yang menerima dua dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dari Qatar.
“Ada juga dua atau tiga atlet yang lain (yang sudah menerima suntikan vaksin di luar negara) kerana kebetulannya mereka hendak menyertai kejohanan di negara tersebut dan ada kalanya, negara berkenaan mengamalkan polisi semua atlet akan divaksinkan.
“Dalam kes Olimpik ini, IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) tidak menetapkan semua atlet untuk wajib menjalani proses vaksinasi.
“Ia kerana bukan semua negara yang mempunyai akses kepada vaksin yang mana ada yang sedikit terkebelakang dan miskin, jadi akses kepada vaksin adalah tidak menyeluruh,” katanya.
#Program Imunisasi COVID-19 Kementerian Belia dan Sukan #KBS #Reezal Merican Naina Merican #COVID-19 #Liga Bola Sepak Malaysia #Liga Joki Malaysia #Olimpik Tokyo #Pfizer-BioNTech #IOC #Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa
Outbrain