SUKAN

Vietnam juara Kejohanan Pencak Silat Asia 2025

Bernama 01/08/2025 | 22:00 MYT
Vietnam muncul juara keseluruhan Kejohanan Pencak Silat Asia kesembilan yang berakhir 30 Julai lalu, Malaysia meraih tempat naib juara, manakala Indonesia di kedudukan ketiga. - Foto Majlis Sukan Negara Malaysia
HA TINH (Vietnam): Kejohanan Pencak Silat Asia kesembilan melabuhkan tirainya pada 30 Julai lepas, menandakan berakhirnya enam hari saingan sengit dan penuh aksi mendebarkan.

Vietnam muncul juara keseluruhan selepas mengungguli acara tanding dan seni, sekali gus membawa pulang trofi pasukan.

Malaysia meraih tempat naib juara, manakala Indonesia di kedudukan ketiga, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Dalam ucapan penutupnya, Naib Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Wilayah Duong Tat Thang menyifatkan kejohanan itu sebagai satu kejayaan dan menegaskan bahawa ia bukan sahaja memperlihatkan bakat seni bela diri elit, malah turut memperkukuh persahabatan dan pertukaran budaya di seluruh rantau.

Bertempat di Wilayah Ha Tinh, tengah Vietnam, kejohanan yang berlangsung dari 24 hingga 30 Julai itu menarik penyertaan atlet dari 10 negara Asia, termasuk Vietnam, Thailand, Malaysia, India, Laos, Singapura, Indonesia, Filipina, Uzbekistan dan Kazakhstan.

Atlet bersaing dalam dua disiplin utama - tanding (tempur) dan seni (persembahan) - membabitkan 32 acara yang menawarkan pingat.

Kategori tanding merangkumi 24 kelas berat, iaitu 13 bagi lelaki (antara 45 kilogram (kg) hingga melebihi 110kg) dan 11 bagi wanita (antara 45kg hingga melebihi 100kg).

Sementara itu, acara seni menampilkan lapan kategori persembahan artistik termasuk solo lelaki dan wanita, berpasangan, berpasukan serta persembahan kreatif.

-- BERNAMA


#Vietnam #Kejohanan Pencak Silat Asia #silat #Malaysia naib juara