SUKAN

Wan Arif-Roy King berdepan kekeliruan untuk adaptasi falsafah Herry - Rexy

Bernama 05/07/2025 | 03:15 MYT
Rexy Mainaky, Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King berdepan kekeliruan sehingga sukar untuk mengadaptasi falsafah permainan yang cuba diterapkan ketua jurulatih Herry Iman Pierngadi.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky berkata situasi itu mengakibatkan Wan Arif-Roy King seakan-akan hilang arah lantas mengundang banyak kesilapan.

"Pasangan ini seperti memaksa untuk bermain mengikut falsafah diterapkan (Herry). Saya sudah berbincang bersama mereka khususnya Wan Arif yang keliru dan hilang identiti.

"Bagaimanapun, kita sudah mula nampak perubahan pada kejohanan sebelum ini di Terbuka Indonesia sehingga mereka mengheret rakan sepasukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun ke aksi set penentuan. Kita harap mereka lebih yakin pada kejohanan mendatang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini semalam.

Walaupun menang 21-14 pada set pertama, Wan Arif-Roy King bagaimanapun gagal mengekang kebangkitan Wei Chong-Kai Wun apabila tumpas set berikutnya 11-21, 15-21, sekali gus tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Indonesia 2025, bulan lepas.

Sejak mendapat bimbingan Herry yang memulakan tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Februari lepas, pasangan di ranking ke-24 dunia itu hanya pernah mara ke separuh akhir sekali iaitu pada Masters Orleans di Perancis, Mac lepas daripada lapan kejohanan disertai.

Situasi itu jelas berbeza dengan dua lagi pasangan negara iaitu bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun yang mencetuskan impak positif bersama Herry.

Aaron-Wooi Yik cemerlang menjulang tiga gelaran pada tahun ini dengan muncul juara Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China diikuti Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura manakala Wei Chong-Kai Wun pula memenangi Masters Indonesia dan Masters Malaysia.

Sementara itu, Rexy berkata pemain beregu negara Muhammad Haikal Nazri pula tidak agresif seperti dahulu sekali gus hilang kepercayaan diri setelah kembali daripada kecederaan otot paha yang dialaminya semasa sesi latihan pada Disember lepas.

Situasi berkenaan memaksa Muhammad Haikal dan pasangan Choong Hon Jian terlepas beberapa kejohanan utama termasuk Terbuka Malaysia 2025 pada Januari lepas dan ranking mereka pula jatuh ke tangga ke-47 dunia ketika ini.

Biarpun kembali beraksi pada Mei lepas, namun Hon Jian-Muhammad Haikal tidak berjaya menyerlah apabila tersingkir awal dalam kesemua lima kejohanan disertai tahun ini.

Walaupun mengakui tempoh sukar dialami Hon Jian-Muhammad Haikal, namun pakar beregu dari Indonesia itu berharap agar kedua-dua mereka memanfaatkan waktu rehat yang ada untuk mengembalikan momentum pada kejohanan berikutnya iaitu Terbuka Jepun 2025 pada 15-20 Julai ini.

-- BERNAMA

#badminton #Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King #Rexy Mainaky #Herry Iman Pierngadi