SUKAN

Woltemade dan Guimaraes bawa Newcastle tewaskan Forest 2-0

Muhamad Syazwan 06/10/2025 | 01:40 MYT
Eddie Howe pasti berharap pasukannya mengekalkan momentum positif ini selepas rehat antarabangsa, sebelum berdepan Brighton & Hove Albion pada 18 Oktober. - Foto Reuters
NEWCASTLE United mengekalkan rekod cemerlang mereka di laman sendiri selepas menewaskan Nottingham Forest 2-0 di St James’ Park, Ahad.

Bruno Guimaraes membuka jaringan dengan rembatan cantik dari jarak jauh pada minit ke-58 sebelum Nick Woltemade menambah gol kedua melalui penalti pada minit ke-84, hasil pelanggaran Elliot Anderson ke atas Guimaraes di dalam kotak penalti.

Forest sukar menembusi pertahanan Newcastle sepanjang babak pertama, dengan peluang terbaik hanya datang daripada sepakan percuma Morgan Gibbs-White. Newcastle pula hampir membuka jaringan awal melalui Joelinton, namun Sels membuat beberapa penyelamatan penting.

Kemenangan ini menjadikan Woltemade pemain ketiga Newcastle yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga perlawanan liga pertama di laman sendiri, selepas legenda Les Ferdinand dan Alan Shearer.

Persembahan cemerlang Woltemade juga berjaya membuat penyokong Newcastle melupakan Alexander Isak, dengan pemain muda itu merekodkan empat gol daripada tujuh penampilan bersama pasukan setakat ini.

Dengan kemenangan ini, Newcastle kini berada di tangga ke-11, manakala Forest masih belum menang dalam tujuh perlawanan pertama, duduk di tangga ke-17 di bawah kendalian Ange Postecoglou.

Eddie Howe pasti berharap pasukannya mengekalkan momentum positif ini selepas rehat antarabangsa, sebelum berdepan Brighton & Hove Albion pada 18 Oktober.








#Newcastle United #Liga Perdana Inggeris #Bruno Guimaraes #Elliot Anderson