PUTRAJAYA: Bersukan menyihatkan badan dan juga mental, namun bagi sesetengah ahli masyarakat, terutama wanita, ada sahaja halangan yang membuatkan mereka mengetepikan niat untuk melakukan aktiviti itu.
Antara perkara yang sering membatasi mereka untuk bersukan adalah faktor keselamatan serta ketiadaan rakan "sekepala".
Sedar akan hal itu, program Women on Wheels (WOW) - program berbasikal melibatkan kaum Hawa - yang berlangsung di sini pada 2 Mac lepas - menyasarkan pembentukan jaringan sosial bagi membolehkan mereka meneruskan kegiatan tersebut pada masa luang.
Pertama kali dianjurkan pada 2021, WOW diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada setiap 8 Mac, dan merupakan program anjuran bersama dua kelab berbasikal - South Puchong Cycling Club (SPCC) dan AFG - serta kedai basikal QB Cycle Service Bay, dengan tujuan menggalakkan lebih ramai wanita menyertai aktiviti itu secara selamat dan berdisiplin.
KIKIS RASA SEGAN
Pengasas WOW Dilla Ramli berkata ketika diadakan buat pertama kali, program itu hanya disertai oleh kira-kira 30 orang, namun sejak dua tahun belakangan ini, jumlah penyertaan meningkat kepada lebih 150 orang.
"Sambutan yang semakin menggalakkan ini menggembirakan kami kerana WOW semakin dikenali dan berjaya menarik minat wanita untuk menceburi kegiatan berbasikal demi kesihatan fizikal dan mental serta meningkatkan keyakinan diri," katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, beliau berkata tumpuan program kali ini ialah membantu wanita menepis rasa segan berkayuh dalam kumpulan, terutama ketika berbasikal bersama-sama penunggang lelaki.
"Objektif WOW ialah menghimpunkan wanita untuk berkayuh dalam kumpulan, bersosial dan saling menyokong.
"WOW juga mahu memberi kesedaran kepada masyarakat umum supaya menghormati penunggang basikal, terutama golongan wanita," katanya, menambah program turut bertujuan menghapuskan diskriminasi terhadap kaum Hawa yang aktif bersukan, terutama dari segi layanan.
Dilla berkata menerusi program itu, penganjur juga berharap dapat menyatukan kaum wanita daripada pelbagai latar belakang agar mereka dapat berkongsi pengalaman serta memupuk hubungan yang positif, dan seterusnya membina jaringan sosial yang teguh bagi memberikan sokongan antara satu sama lain.
"Kita adakan program ini setiap tahun bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa sebagai mengiktiraf peranan dan sumbangan kaum Hawa dalam masyarakat," jelas beliau.
LIBATKAN LELAKI
Pada masa sama, Dilla berkata WOW turut mengundang pengayuh basikal lelaki bagi membantu dari segi teknikal dan juga aspek keselamatan penunggang wanita.
"Mereka hadir untuk memberi sokongan, memainkan peranan sebagai marsyal bermotor dan berbasikal. Pendek kata, mereka hanya memainkan peranan di belakang tabir kerana yang mahu kita ketengahkan adalah penunggang wanita," katanya.
Bagaimanapun katanya, majoriti peserta wanita dalam WOW adalah penunggang basikal berpengalaman.
Senada, Pengurus Projek WOW Dr Syazana Alia Sabrudin berkata WOW 2024 menyaksikan penyertaan beberapa penunggang basikal yang sudah lama berkecimpung dalam bidang itu dan memainkan peranan mereka menerusi perkongsian pengalaman dengan peserta yang baru berjinak-jinak dalam kegiatan berkenaan.
"Orang selalu ingat kegiatan berbasikal ini didominasi oleh lelaki, tetapi sebenarnya kita ada penunggang wanita yang sangat berpengalaman dan mereka berkongsi tip berbasikal dengan selamat di jalan raya," katanya.
Sementara itu, beliau berkata buat pertama kali juga penganjuran WOW mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan.
"Oleh yang demikian, kita akan pastikan WOW yang akan datang diisi dengan pelbagai program termasuk pemeriksaan kesihatan untuk wanita," ujarnya.
GAYA HIDUP SIHAT
Bagi seorang peserta, walaupun sudah berusia hampir enam dekad, Wendy Chew tidak ada masalah untuk aktif berbasikal.
"Ini kali pertama saya sertai WOW dan saya dapat tahu tentang program ini daripada sosial media," kata Chew, 59.
Menurutnya, beliau juga menyertai program itu seorang diri kerana tidak mempunyai rakan "sekepala".
"Walaupun seorang sahaja, saya gigihkan diri untuk datang kerana WOW bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat selain memperkasakan wanita melalui sukan agar mereka lebih yakin dan berani dalam mendepani kehidupan.
"Saya melihat WOW sebagai satu platform yang bagus dalam menggalakkan lebih ramai wanita bersukan, bukan seperti zaman dahulu, iaitu wanita hanya dilihat sebagai kumpulan yang terperap di rumah," katanya, menambah peranan wanita sekarang juga sudah jauh berubah dengan semakin ramai yang berkemampuan memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.
Pemilik kedai QB Cycle Service Bay Nur Hazwany Halim pula berkata sebagai seorang penunggang basikal sejak lebih 10 tahun lalu, beliau amat memahami masalah yang dihadapi oleh kaum Hawa yang berkayuh dalam kumpulan.
"Saya dapati ada penunggang yang ketinggalan (dari segi stamina) dan ada juga yang segan apabila berkayuh dalam kumpulan besar. Program ini dapat membina keyakinan diri kaum Hawa kerana mereka berkayuh sesama mereka," katanya, menambah jumlah wanita yang terlibat dalam aktiviti berbasikal juga kian bertambah.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Mar 11 2024
Objektif WOW ialah menghimpunkan wanita untuk berkayuh dalam kumpulan, bersosial dan saling menyokong serta memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menghormati penunggang basikal. - Gambar fail BERNAMA
Pengusaha stesen minyak berdepan ugutan diminta buat laporan polis - Saifuddin
Pengusaha stesen minyak yang menjadi mangsa ugutan sindiket penyeludupan bahan api bersubsidi digesa membuat laporan polis.
Liga Parlimen Al-Quds: Malaysia kongsi pengalaman perjuang nasib rakyat Palestin - Syed Ibrahim
Delegasi negara berkongsikan pengalaman Malaysia sebagai usaha berterusan mempertahankan nasib Palestin dalam Persidangan Liga Parlimen Al-Quds di Istanbul, Turki pada Sabtu.
Akta Laut Wilayah masih sah, terpakai termasuk di Terengganu - PMO
Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di Terengganu, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu membuat keputusan menolak pemakaiannya.
Yakeb sasar 1,000 bekas atlet baharu tahun ini
Yakeb menyasarkan seramai 1,000 bekas atlet dapat berdaftar di bawah yayasan itu sepanjang tahun ini. Yayasan Kebajikan Atlet K
Pulau Pinang mahu perbanyak kedai makan mesra muslim
Kerajaan Pulau Pinang berhasrat memperbanyakkan kemudahan terutama kedai makan mesra Muslim bagi memperkasakan lagi industri pelancongan di negeri ini.
Tiga firma semikonduktor mahu labur AS$100 juta di Pulau Pinang - Chow
Syarikat berkenaan adalah China Wafer Level CSP Co (WLCSP), Ningbo SJ Electronics Co (SJE) dan Wuxi AMTE Inc (AMTE).
Johor pastikan masalah bekalan air ketika perayaan tidak berulang
Kerajaan negeri akan berusaha memastikan sifar masalah bekalan air pada hari raya tahun hadapan dengan beberapa langkah telah diambil.
41 kes kebakaran terbuka di Gua Musang sejak Februari - Bomba
Aktiviti pembakaran terutamanya di kebun, ladang dan hutan perlu dielakkan ketika musim panas ini.
Runtuhan bangunan di Gaza akan ambil masa 14 tahun untuk dialihkan - Pegawai PBB
Serangan Israel telah meninggalkan runtuhan yang dianggarkan seberat 37 juta tan dalam satu wilayah yang padat dengan penduduk.
Fokus Minggu Depan: Gelanggang PRK Kuala Kubu Baharu dibuka
Ikuti kupasan Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia UNSDSN, Universiti Sunway, Prof. Wong Chin Huat mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang bermula seusai proses penamaan calon pada Sabtu.
Mobile Legends: Mampukah pasukan underdog WoW cipta kejutan?
WoW dilihat mampu menggegarkan empayar pasukan gergasi tempatan dengan kekuatan kerjasama pasukan tersebut.