SUKAN

Wujud kesilapan teknikal proses serahan dokumen pemain warisan - FAM

Hasimi Muhamad 28/09/2025 | 12:40 MYT
Noor Azman berkata FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada - Foto fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan, yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut, namun menegaskan bahawa tujuh pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.

"FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.

"FAM mengambil serius perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Noor Azman berkata FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.

Pada Jumaat, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan tegas oleh Jawatankuasa Tatatertib kepada FIFA selepas didapati melakukan pelanggaran serius membabitkan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan rasmi badan induk dunia itu, FAM didapati telah mengemukakan pertanyaan kelayakan pemain kepada FIFA dengan menggunakan dokumen yang diubah suai bagi membolehkan pemain berkenaan diturunkan.

FAM turut diarahkan membayar denda sebanyak RM1.8 juta, manakala tujuh pemain berkenaan dikenakan denda RM10,000.

Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu sebelum FIFA menerima aduan rasmi mengenai status kelayakan beberapa pemain terbabit.






#FIFA #Pemain warisan didenda #FAM isu pemalsuan dokumen #pemain warisan