[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Bukit Aman Ambil Alih Siasatan – Ikuti Perkembangan Di Sini
SUKAN

Wushu: Emas Sukan Dunia hadiah sempena Hari Kebangsaan - Cheong Min

Bernama 11/08/2025 | 07:00 MYT
Pingat emas yang dimenangi di Chengdu, China itu menyumbang kepada kutipan keseluruhan tiga pingat kontinjen negara di kejohanan berkenaan. - Foto FB Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Ratu wushu negara Tan Cheong Min yang memperoleh pingat emas pertama dalam acara wusyu di Sukan Dunia pada Sabtu lepas, mendedikasikan kejayaan tersebut sebagai hadiah sempena Hari Kebangsaan yang bakal diraikan tidak lama lagi.


Ringkasan AI
  • Ratu wushu negara memenangi pingat emas di Chengdu, China dan mendedikasikannya sebagai hadiah sempena Hari Kebangsaan serta pengiktirafan kepada sukan wushu.
  • Cheong Min berharap pencapaian ini membakar semangat rakan atlet untuk terus memartabatkan sukan wushu di pentas antarabangsa.
  • Beliau kini bersiap untuk Kejohanan Wushu Dunia di Brazil pada September dan Sukan SEA di Thailand pada Disember, dengan sasaran meraih emas lagi.


Beliau berkata kejayaan tersebut turut menjadi pengiktirafan besar kepada sukan wushu, selepas buat pertama kalinya ia dipertandingkan secara rasmi di temasya berprestij itu.

"Pingat emas ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk Malaysia. Ia juga hadiah istimewa untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

"Sebelum ini, wushu bukan acara rasmi di Sukan Dunia. Jadi, selama ini Asian Games dan Kejohanan Dunia dianggap sebagai pentas tertinggi bagi kami. Saya sangat bangga dan gembira dengan pencapaian ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bekas juara dunia itu berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan atlet untuk terus berusaha meraih kejayaan dan memartabatkan sukan wushu.

Pingat emas yang dimenangi di Chengdu, China itu menyumbang kepada kutipan keseluruhan tiga pingat kontinjen negara di kejohanan berkenaan, iaitu satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Atlet kelahiran Melaka itu berkata kejayaan tersebut turut menjadi motivasi buat dirinya, yang kini menumpukan persiapan ke beberapa kejohanan sebelum 2025 berakhir.

"Ada lagi kejohanan yang akan saya sertai, antaranya Kejohanan Wushu Dunia di Brazil pada September, dan saya mahu memastikan dapat meraih emas lagi di sana. Selepas itu, saya akan memberi fokus kepada temasya Sukan SEA di Thailand pada Disember," katanya.

Sebagai rekod, Cheong Min merangkul gelaran juara dunia 2017 di Kazan, Rusia dalam acara Duilian, sebelum menambah gelaran keduanya pada 2019 di Shanghai, China dalam acara Nandao.

-- BERNAMA





#Tan Cheong Min #wushu #Sukan Dunia #pingat emas