[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
SPORTS

YAKEB, PPUM bincang rawatan untuk Saravanan

Bernama 22/04/2025 | 15:30 MYT
Ahmad Shapawi ketika sidang media berhubung perkembangan bekas pemenang Emas 50 KM Jalan Kaki Lelaki Sukan Komanwel 1998 G. Saravanan di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet dan Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) akan berbincang mengenai rawatan efisien boleh diberikan kepada pemenang pingat emas acara jalan kaki Sukan Komanwel 98 (SUKOM 98) G Saravanan yang menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND).
Pengerusi YAKEB Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pemegang rekod kebangsaan acara 50 kilometer jalan kaki itu sudah pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang selepas menjalani rawatan di pusat perubatan berkenaan.
"Penyakit dihidapi Saravanan adalah penyakit jarang berlaku yang sukar dijelaskan aspek rawatannya. Beliau juga telah menjalani rawatan alternatif di India.
"Perjumpaan dengan PPUM adalah bagi mendapatkan gambaran jelas bagaimana kita boleh bantu untuk kemudahan perubatan kepada Saravanan dan beliau akan berada di PPUM sehingga kesihatannya beransur pulih," katanya pada sidang media YAKEB di sini hari ini.
Ahmad Shapawi berkata bantuan yang akan disalurkan kepada bekas atlet berusia 55 tahun itu adalah berdasarkan kepada keupayaan kewangan yayasan selain Saravanan turut menerima elaun sara diri untuk tempoh enam bulan bermula bulan ini.
Pada Jumaat lepas, Saravanan menerima sumbangan RM10,000 daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selain diziarahi Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim serta Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi di PPUM.
Saravanan dilaporkan menghidap MND iaitu penyakit menyebabkan kelemahan otot dan tiada penawar sejak 2021.
Sebelum ini, Saravanan mencuri hati rakyat Malaysia apabila melupakan kesakitan kekejangan otot kaki dialaminya untuk meneruskan saingan hingga garisan penamat sebelum muncul pemenang pingat emas di SUKOM 98.
Pingat emas dimenanginya itu adalah yang ke-10 buat kontinjen negara di temasya berkenaan yang menyaksikan Malaysia menamatkan edisi selaku kontinjen keempat terbaik keseluruhan.
Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata YAKEB akan mengadakan sesi ziarah bekas atlet minggu ini di Melaka dan johor, antaranya legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun dan bekas peninju Nekmat Jantan.
-- BERNAMA
#bola sepak #Sukan Komanwel #pingat emas #sesi ziarah