Yi Wei lakar sejarah diangkat jadi presiden wanita pertama Ragbi Selangor

Bernama
Februari 3, 2024 16:52 MYT
Presiden Kesatuan Ragbi Selangor yang baharu, Lim Yi Wei ketika berucap pada Mesyuarat Agung Kesatuan Ragbi Selangor pada Sabtu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku Lim Yi Wei mencipta sejarah menjadi presiden wanita pertama menerajui Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) sejak lebih 100 tahun kesatuan itu ditubuhkan.
Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) KRS pada Sabtu, Lim, 34, yang dicalonkan oleh Kelab Ragbi Cobra, diumumkan menang tanpa bertanding untuk jawatan berkenaan bagi penggal 2024-2026.
Bercakap pada sidang media selepas itu, beliau berkata keputusan untuk menerajui KRS bukanlah untuk menjadi terkenal atau sekadar memegang jawatan dalam badan sukan, sebaliknya beliau amat menyukai sukan itu.
Lim berkata ragbi bukanlah asing baginya dan beliau pernah bermain sukan 'kasar' itu ketika belajar di Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong sehingga mengalami kecederaan ligamen dan pecah tulang pipi.
"Saya sebenarnya rasa agak gementar (untuk menjadi presiden), tetapi (saya) ambil (ia) sebagai perkara baik. Ini boleh dijadikan sebagai teladan kepada belia wanita-wanita yang lain yang terlibat dalam sukan, bukan hanya sebagai atlet tetapi sebagai pentadbir juga.
"Matlamat utama (saya) adalah (untuk) mengembalikan Selangor sebagai pasukan handalan ragbi. Untuk itu akan dianjurkan lebih banyak aktiviti pembangunan dan pendedahan di semua peringkat dengan bekerja rapat dengan kelab, ahli gabungan dan juga sekolah untuk meningkatkan penyaluran bakat ke peringkat tinggi," katanya.
Lim berkata beliau terlibat secara aktif dalam KRS, pembangunan ragbi wanita serta sukan wanita sejak menjadi ADUN pada 2018.
Dalam pada itu, beliau berkata fokusnya dalam masa terdekat adalah untuk menyediakan pasukan Selangor ke saingan Piala Agong dan penganjuran Liga KRS.
Selangor pernah muncul juara Piala Agong sebanyak enam kali iaitu pada 1984, 1987, 1997, 2001, 2004 dan 2006.
Berikut kepimpinan KRS bagi penggal 2024-2026:
Presiden: Lim Yi Wei
Timbalan Presiden: Prakash Arikrishnan
Naib Presiden: Datuk Aldillan Anuar
Naib Presiden Mohd Hafiz Mohd Zaki
Setiausaha Kehormat: Tan Thiam Jin
Penolong Setiausaha Kehormat: Mohd Azri Mardi
Bendahari Kehormat: Mohd Emran Ibrahim
Ahli Jawatankuasa (AJK): Shahizam Tukiran, Mohammad Faiz Samsukhidir, Sean Pereira, Muhammad Siddiq Amir Jalil.
-- BERNAMA
#ADUN Kampung Tunku #LIM YI WEI #presiden wanita pertama #Kesatuan Ragbi Selangor #KRS