Yoshimi Yamashita bakal cipta sejarah pengadil wanita pertama di pentas Piala Asia

Astro Arena
Januari 12, 2024 04:52 MYT
Yamashita merupakan salah seorang daripada lima pegawai wanita dalam Piala Asia kali ini. - Foto Stadium Astro
KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) dalam laman web rasmi mereka semalam mengesahkan bahawa pengadil Jepun, Yoshimi Yamashita, akan mengendalikan perlawanan peringkat kumpulan Piala Asia di antara Australia dan India malam esok.
Ia sekali gus akan menyaksikan Yamashita mencipta sejarah sebagai pengadil wanita pertama dalam sejarah kejohanan bola sepak terbesar rantau Asia berkenaan.
Yamashita merupakan salah seorang daripada lima pegawai wanita dalam Piala Asia kali ini.
Aksi Kumpulan B itu juga menyaksikan dia akan dibantu oleh dua pembantu pengadil wanita, iaitu Makoto Bozono dan Naomi Teshirogi, sekali gus membentuk trio pengadil wanita ikonik Jepun yang sebelum ini mencipta sejarah mengadili perlawanan Piala AFC (2019), Liga Juara-Juara Asia (2022) dan Liga J1 (2023).
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro
#Yoshimi Yamashita #pengadil wanita #Piala Asia #pengadil Jepun