Young Tigers perlu bangkit dari kekalahan - Jurulatih

Bernama
Oktober 28, 2023 04:34 MYT
Young Tigers tewas kepada New Zealand pada aksi pembukaan SOJC 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam tadi. - Gambar/ MHC
JOHOR BAHRU: Skuad remaja kebangsaan harus kembali bangkit daripada kekalahan menentang New Zealand pada aksi pembukaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam tadi.
Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan Muhamad Amin Rahim berkata beliau yakin anak buahnya itu mampu memberikan yang terbaik pada aksi kedua menentang juara bertahan India pada hari ini.
Beliau berkata, keyakinannya itu adalah berdasarkan prestasi positif pasukan yang dilihat banyak melakukan serangan, meski tewas nipis 2-3 kepada pasukan Black Sticks malam tadi.
"Secara keseluruhan saya rasa banyak perkara positif dibuat pasukan, berbanding aksi (SOJC) tahun lepas kita banyak bertahan, kali ini banyak serangan, tetapi ada peluang tidak dapat diambil dengan baik.
"Saya rasa pasukan kena perbaiki dan analisa daripada kesilapan-kesilapan yang dibuat termasuk beberapa peluang pukulan sudut penalti yang terlepas (malam tadi) sebagai persediaan hadapi India," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Beliau berkata, perlawanan menentang juara bertahan SOJC musim lalu India pada malam ini adalah penting, namun ia bukan mustahil buat Young Tigers membuat kejutan.
"India adalah satu daripada pasukan kegemaran dengan track record di SOJC, tetapi dalam perlawanan macam-macam boleh terjadi.
"Jadi saya harap pemain dapat turun dengan bersemangat dan ada petanda (kemenangan) baik untuk pasukan malam ini," katanya.
Sementara itu jurulatih New Zealand Aaron Ford mengakui skuad Malaysia menampilkan pasukan cukup mantap yang telah memberikan saingan yang cukup sengit.
-- BERNAMA
#SOJC #hoki #Young Tigers #Muhamad Amin Rahim