KECEWA dengan 'hadiah' yang diberikan pemainnya, ketua jurulatih The Red Warriors(TRW), Yusri Che Lah, melontarkan ancaman akan meninggalkan Kelantan jika pemain masih mempamerkan aksi yang cukup mengecewakan dalam baki saingan Liga Perdana selepas ini.

Reaksi segera itu diluahkannya dalam sidang media selepas Kelantan dimalukan Negeri Sembilan 2-5 dalam aksi berat sebelah yang menyaksikan bekas penyerang Harimau Muda A, Ferris Danial Mat Nasir, mencipta hatrik malam tadi.

"Saya mendapat 'hadiah' cukup bermakna malam ini (tadi). Lima gol terhasil di Kota Bharu dan ini sesuatu yang saya tidak boleh terima walaupun baru dua hari mengambil alih pasukan.

"Sejujurnya, ini bukanlah pemain Kelantan yang saya kenal enam bulan lalu. Kalau beginilah corak permainan mereka, Kelantan tidak akan ke mana-mana, bahkan akan terus dihukum dalam perlawanan akan datang.

"Kalau mereka (pemain) tidak boleh berubah, lebih baik saya keluar (daripada pasukan Kelantan). Terus terang saya cakap, sebab saya tidak nampak sebarang perubahan. Kalau berterusan begini, buat apa menjahanamkan reputasi sendiri," katanya.

Yusri, yang juga bekas pengendali Kuala Lumpur sebelum memilih meletakkan jawatan, mahu anak buahnya bangkit segera kerana dengan barisan pemain yang ada, mereka tidak sepatutnya menghuni tangga tercorot liga.

"Saya rasa ketika bersama Kuala Lumpur, saya keluar tanpa ada sebarang masalah. Tetapi, bersama Kelantan, saya rasa ada tanggungjawab dan sekiranya mereka (pemain) tidak mahu berubah, sayanglah kerana pasukan ini tidak sepatutnya berada di dasar liga," katanya.

Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi, Ferris Danial muncul wira apabila mencipta hatrik pada minit ke-12, 43 dan 50 sambil gol penyerang import, Jose Almir Neto (m-54) dan Mohammad Ridzuan Abdunloh (mi-56) melengkapkan kemenangan besar pelawat.

Kelantan pula mendapatkan dua jaringan melalui Flavio Beck Junior (m-15) dan pemain tengah, Mohammad Hakimi Abdulllah (m-90) untuk mengurangkan defisit jaringan.

Kekalahan teruk 2-5 kepada Skuad Jang itu meninggalkan TRW kekal di dasar Liga Perdana dengan empat mata daripada sembilan perlawanan.