ZINEDINE Zidane dilapor hampir menandatangani kontrak untuk menjadi pengendali Bayern Munich tetapi terdapat satu halangan utama apabila dia dilaporkan lebih berminat untuk menjadi pengemudi Manchester United.

Legenda bola sepak Perancis itu dikatakan memantau dengan teliti situasi Erik ten Hag di United walaupun telah mencapai persetujuan dengan Bayern.

Zidane, 51, memenangi tiga kejuaraan Liga Juara-Juara dan dua Piala La Liga sebagai pengendali Real Madrid dan dilihat sebagai calon tepat untu mengemudi kelab besar.

L'Equipe melaporkan bahawa Zidane masih ragu-ragu untuk menandatangani kontrak dengan Bayern sekali gus membuka pintu untuk United sekiranya mereka bertindak pantas menyambarnya.

Mail Sport juga sudah pun menulis tentang bagaimana Zidane dilaporkan selangkah lagi daripada mengesahkan perpindahan untuk menggantikan Thomas Tuchel di Bayern.

Bayern mengumumkan bahawa mereka akan berpisah dengan Tuchel pada Februari selepas musim yang mengecewakan, namun masih mempunyai peluang memenangi Liga Juara-Juara.

Status kewangan, pemain berkualiti, sejarah, dan kedudukan kelab yang bagus menjadikan mereka prospek yang memikat untuk mana-mana pengendali.

Bagaimanapun, Zidane difahamkan mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang lebih baik berbanding Jerman, yang mungkin membuatkan dia lebih yakin dengan perpindahan ke Old Trafford.

Ten Hag berjuang untuk masa depannya di United dengan kelab itu dalam bahaya tidak dapat slot ke ke kejohanan Eropah musim depan.

Walaupun dia berjaya membantu pasukan menjulang Piala FA, itu mungkin tidak cukup untuk menyelamatkan kariernya di kelab itu.

Dalam pada itu, Ten Hag mengakui bimbang kemungkinan pasukannya tewas kepada Coventry City pada separuh akhir Piala FA di Wembley pada Ahad.

The Red Devils mengharungi musim yang agak bergelut dan Ten Hag menyedari keupayaan luar biasa Coventry City selepas pasukan divisyen dua itu menewaskan Wolves di peringkat suku akhir.

“Kami melakukan tugas kami. Kami tahu cara mereka bermain, kebolehan individu pemain dan pengurus mereka. Dia bekas pemain United, penyerang dia melakukan kerja yang hebat di sana jadi kami tahu banyak tentang mereka.

“Sudah tentu mereka berbahaya, mereka berada di separuh akhir, maka ia logik. Musim lalu mereka tidak jauh untuk layak ke Liga Perdana Inggeris, jadi mereka melakukan kerja yang hebat di sana.

“Kami telah melihat perlawanan menentang Wolves pada suku akhir, mentalitinya luar biasa. Kami perlu bermain pada tahap terbaik kami," katanya.

Apabila Ten Hag ditanya sama ada memenangi Piala FA akan menyelamatkan kempen United yang suram, Ten Hag enggan memikirkan mengenai perkara tersebut sebaliknya lebih fokus mengharungi aksi separuh akhir itu.

“Saya sedang memikirkan tentang hari Ahad, tentang bagaimana kami akan menewaskan Coventry City. Kami merancang untuk musim depan tetapi buat masa ini semuanya mengenai perlawanan ini.

"Kami mahu memenangi trofi, kami mempunyai peluang besar kerana kami berada di separuh akhir tetapi ia adalah satu cabaran yang besar," katanya. - Sinar Harian/ Agensi