[TERKINI] Mesyuarat Khas Thailand–Kemboja Capai Gencatan Senjata Serta-Merta – Baca Laporan Penuh Di Sini
SUKAN

Zii Jia pilih untuk tidak bersama RTG - Hannah

Shafiqa Azami 10/06/2025 | 06:35 MYT
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bercakap pada sidang media mengenai Program Road To Gold selepas mesyuarat khas di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Jaguh perseorangan badminton lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengesahkan tidak akan menyertai Program Road to Gold (RTG) sebagai persediaan untuk ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.


Ringkasan AI
  • Lee Zii Jia mengesahkan tidak menyertai Program Road to Gold (RTG) atas alasan tersendiri, tetapi tetap memberi maklum balas positif mengenai sokongan kepada atlet profesional.
  • Kementerian Belia dan Sukan menegaskan pintu RTG masih terbuka untuk mana-mana atlet, termasuk Zii Jia, sekiranya mereka ingin menyertainya sebelum Sukan Olimpik 2028.
  • Seramai 12 atlet telah menandatangani perjanjian RTG, dengan kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi memperkukuh persiapan atlet ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.


Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Bersama RTG, Hannah Yeoh yang memaklumkan bahawa keputusan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Zii Jia dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Beliau telah menyatakan keputusan untuk tidak menyertai RTG atas alasan tersendiri.

“Jadi, Jawatankuasa Road to Gold menghormati keputusan Lee Zii Jia dan kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk beliau,” katanya.

Jelas Hannah lagi, meskipun tidak menyertai program tersebut secara rasmi, perbincangan dengan Zii Jia tetap memberi impak positif kepada pelaksanaan RTG.

“Perjumpaan saya dengan Zii Jia telah membincangkan sokongan yang boleh diberikan kepada atlet profesional dan Zii Jia telah memberikan banyak maklum balas yang bagus untuk RTG,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kementerian Belia dan Sukan di sini pada Selasa.

Selain itu Hannah turut menegaskan pintu penyertaan RTG masih terbuka kepada mana-mana atlet profesional, termasuk Zii Jia, sekiranya mereka ingin menyertainya pada masa hadapan sebelum Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Dalam pada itu, seramai 12 atlet negara dari pelbagai sukan telah menandatangani perjanjian di bawah RTG dalam mesyuarat kali kedua jawatankuasa berkenaan yang berlangsung.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM10 juta kepada jawatankuasa RTG bagi tahun 2025, sebagai langkah memperkukuh persiapan atlet menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.







#Lee Zii Jia #Road to Gold #Hannah Yeoh #Olimpik