Skip to main content

Teknologi

AI ancam kewujudan manusia - Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB

Volker Turk, United Nations High Commissioner for Human Rights, speaks at the Human Rights Council at the UN European headquarters in Geneva, Switzerland, September 8, 2025. REUTERS/Denis Balibouse
Turk berkata beliau akan mengutus surat berkaitan perkara itu kepada semua syarikat pembangunan AI terkemuka dalam beberapa hari akan datang. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

MOSCOW: Kecerdasan buatan (AI) menimbulkan ancaman terhadap kewujudan manusia yang perlu ditangani segera, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia Volker Turk pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Saya berkongsi kebimbangan pihak dalam industri bahawa AI canggih boleh membahayakan kewujudan manusia.

“Saya menyeru di sini, hari ini, supaya usaha menyeluruh dilakukan bagi mewujudkan jaminan kukuh terhadap keselamatan AI sebelum terlambat,” kata beliau pada sesi ke-63 Majlis Hak Asasi Manusia, seperti dipetik pejabatnya.

Turk berkata beliau akan mengutus surat berkaitan perkara itu kepada semua syarikat pembangunan AI terkemuka dalam beberapa hari akan datang.

Pada masa sama, beliau berkata hanya segelintir individu mempunyai “kuasa hampir tanpa batasan terhadap AI”.

“Sekurang-kurangnya, negara yang menjadi lokasi pembangunan AI dan negara yang terlibat dalam rantaian bekalannya perlu mencapai persetujuan mengenai batas yang tidak boleh dilanggar,” kata Turk.

Pada Disember 2025, Ketua Ahli Ekonomi Biro Serantau Asia-Pasifik Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Philip Schellekens memberi amaran bahawa penggunaan AI dalam bidang ketenteraan boleh mengancam kewujudan manusia dan mengakibatkan korban besar, sambil menegaskan keperluan terhadap kawal selia yang sangat bertanggungjawab.

Pada Januari 2025, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres turut menyifatkan AI yang tidak dikawal sebagai ancaman terhadap kewujudan manusia, selain perubahan iklim dan senjata nuklear.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement