HANGZHOU: Alibaba Group Holding Ltd dilaporkan mengarahkan kakitangannya menghentikan penggunaan alat pengaturcaraan berasaskan kecerdasan buatan (AI), Claude Code, di tempat kerja dan beralih kepada platform dalaman syarikat, Qoder.
Menurut Reuters yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu, arahan tersebut dibuat selepas timbul kebimbangan terhadap ciri dalam Claude Code yang boleh membantu mengenal pasti pengguna yang mempunyai kaitan dengan China.
Perkembangan itu berlaku ketika hubungan antara Alibaba dan firma AI berpangkalan di Amerika Syarikat, Anthropic, semakin tegang selepas Anthropic menuduh pihak yang dikaitkan dengan Alibaba menjalankan usaha "distillation" untuk mengekstrak keupayaan model Claude AI bagi tujuan pembangunan model lain.
Reuters melaporkan bahawa beberapa pembangun sebelum ini mendakwa Claude Code mengandungi mekanisme yang memeriksa persekitaran pengguna, termasuk maklumat zon waktu dan konfigurasi proksi, selain memasukkan penanda tertentu dalam prom yang dihantar ke pelayan Anthropic.
Seorang kakitangan Anthropic dilaporkan berkata ciri berkenaan merupakan percubaan yang diperkenalkan pada Mac lalu bagi menghalang penyalahgunaan akaun dan melindungi model syarikat daripada usaha "distillation".
Sumber itu turut berkata kakitangan Alibaba kini digalakkan menggunakan Qoder, platform pengekodan AI milik syarikat tersebut.
Perkembangan itu juga mencerminkan kecenderungan syarikat teknologi China untuk meningkatkan penggunaan model AI tempatan seperti Qwen, DeepSeek, Moonshot AI dan Zhipu ketika persaingan teknologi antara China dan Amerika Syarikat terus memuncak.