Skip to main content

Teknologi

Apple buang lebih 200 pekerja, fokus pembangunan AI dan produk baharu

41703562977_TBAppleVisionPro.jpg
Pemberhentian pekerja dalam organisasi Vision Pro melibatkan kira-kira 100 pekerja, sekali gus memberi kesan kepada pembubaran pasukan pembangunan permainan video dan pengurangan ketara dalam penghasilan kandungan video imersif dalaman. -Gambar fail
Advertisement

CUPERTINO: Gergasi teknologi Apple Inc dilaporkan memberhentikan lebih 200 pekerja yang melibatkan beberapa bahagian penting termasuk unit pembantu digital Siri yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) serta organisasi pembangunan peranti realiti campuran Apple Vision Pro.

Langkah pengurangan tenaga kerja berskala terhad itu disahkan pihak pengurusan sebagai sebahagian daripada strategi syarikat untuk menyusun semula sumber dan memfokuskan pelaburan kepada pembangunan perkakasan generasi baharu serta infrastruktur AI global.

Menurut laporan Bloomberg, pemberhentian pekerja dalam organisasi Vision Pro melibatkan kira-kira 100 pekerja, sekali gus memberi kesan kepada pembubaran pasukan pembangunan permainan video dan pengurangan ketara dalam penghasilan kandungan video imersif dalaman.

Bagaimanapun, Apple menegaskan komitmennya terhadap ekosistem set kepala berkenaan tidak berubah.

Pembangunan perkakasan jangka panjang serta kemas kini sistem operasi visionOS akan diteruskan, termasuk melalui model kerjasama dengan penyedia kandungan pihak ketiga bagi mengurangkan kos operasi.

Selain unit produk spatial itu, pelan pemberhentian berkenaan turut menjejaskan kira-kira 100 lagi jawatan di bawah kumpulan Intelligent Systems Experience (ISE), yang bertanggungjawab terhadap kejuruteraan perisian dan ciri AI, susulan penstrukturan semula reka bentuk seni bina teknikal pembantu maya Siri.

Vision Pro yang mula dipasarkan kepada pengguna pada Februari 2024 sebelum ini dilaporkan berdepan permintaan pasaran yang terhad susulan harga premium peranti berkenaan serta kos penghasilan kandungan imersif yang tinggi.

Dalam usaha mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran peranti boleh pakai, Apple turut dilaporkan mengalihkan tumpuan sumber kejuruteraannya kepada pembangunan cermin mata pintar baharu tanpa skrin bagi menyaingi kedudukan Meta Platforms dalam segmen berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement