Skip to main content

Teknologi

Apple Music bakal papar label khas untuk muzik dijana AI

Apple Music Perkenalkan Label Untuk Kandungan Dijana AI
Apple telah mula menghubungi label rakaman dan pengedar muzik digital bagi mewajibkan penggunaan metadata AI Transparency Tags pada kandungan yang dijana menggunakan teknologi berkenaan. -Gambar fail/Amanz
Advertisement

CUPERTINO: Platform penstriman audio global Apple Music dilapor bakal memperkenalkan label khas bagi mengenal pasti kandungan muzik yang dihasil menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjelang penghujung tahun ini.

Menurut laporan eksklusif The Hollywood Reporter, Apple telah mula menghubungi label rakaman dan pengedar muzik digital bagi mewajibkan penggunaan metadata AI Transparency Tags pada kandungan yang dijana menggunakan teknologi berkenaan.

Langkah itu dilihat mempunyai persamaan dengan sistem pelabelan kandungan eksplisit yang digunakan sebelum ini, sekali gus memberikan maklumat yang lebih jelas kepada pendengar mengenai penggunaan AI dalam sesuatu karya muzik.

Bagaimanapun, Apple Music masih belum mengumumkan tarikh pelaksanaan rasmi bagi ciri tersebut, selain belum memperincikan mekanisme penguatkuasaan terhadap pihak yang gagal mengisytiharkan kandungan muzik yang dijana AI.

Langkah terbaharu Apple Music itu dilihat seiring dengan usaha yang sedang dilaksanakan oleh pesaingnya, Spotify, untuk menangani peningkatan kandungan muzik dijana AI serta isu manipulasi data dalam industri penstriman audio.

Spotify sebelum ini mengumumkan pengenalan lencana khas dikenali sebagai AI Persona yang akan mula dipaparkan pada profil pemuzik bukan manusia bermula pertengahan September ini bagi membezakan artis sebenar daripada identiti yang dijana algoritma.

Malah, Spotify turut mengesahkan bahawa profil AI Persona tidak akan dimasukkan ke dalam cadangan editorial dan algoritma platform itu secara lalai, sekali gus mengehadkan kebolehlihatan kandungan berkenaan kecuali dicari atau diikuti secara langsung oleh pengguna.

Must Watch Video

Advertisement