CUPERTINO: Gergasi teknologi Apple melancarkan cip pemproses terbaharunya, Apple M6, yang menjadi cip pertama syarikat itu dihasilkan menggunakan teknologi proses 2 nanometer (2nm), lapor Amanz.
Seni bina baharu itu membolehkan lebih banyak transistor dimuatkan ke dalam cip berkenaan, sekali gus meningkatkan prestasi keseluruhan peranti serta mengoptimumkan kecekapan penggunaan tenaga.
Apple M6 dilengkapi 12 teras unit pemprosesan pusat (CPU) serta 12 teras unit pemprosesan grafik (GPU), iaitu masing-masing dua teras lebih banyak berbanding generasi sebelumnya.
Menurut Apple, cip itu turut menawarkan peningkatan ketara dalam prestasi grafik dan kecerdasan buatan (AI), selain menyokong pelbagai beban kerja yang lebih kompleks.
Bagi mengendalikan fungsi AI, M6 dilengkapi dwi-Neural Engine 16 teras yang boleh beroperasi secara serentak untuk mempercepatkan pemprosesan tugasan berasaskan pembelajaran mesin.
Cip berkenaan turut menyokong konfigurasi memori sehingga 32GB dan kini digunakan pada komputer desktop kompak Mac mini baharu yang diumumkan Apple pada 25 Ogos.