Skip to main content

Teknologi

Apple setuju kerjasama dengan Intel reka, keluarkan cip di AS

Intel Dilaporkan Telah Mula Mengeluarkan Cip Untuk iPhone, iPad dan Mac
Langkah itu dilihat sebagai usaha Apple mengurangkan kebergantungan kepada Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC), selain menguatkan semula rantaian pengeluaran di AS. -Gambar fail/Amanz
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata Apple bersetuju bekerjasama dengan Intel bagi mereka bentuk dan mengeluarkan cip untuk perantinya di dalam negara.

Langkah itu dilihat sebagai usaha Apple mengurangkan kebergantungan kepada Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC), selain menguatkan semula rantaian pengeluaran di AS.

Ia juga bertujuan mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan global, khususnya melibatkan pasaran luar seperti China, lapor Amanz.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan keputusan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha strategik untuk menghidupkan semula industri semikonduktor domestik.

“Apple bersetuju bekerjasama dengan Intel untuk mereka bentuk dan membina cip peranti mereka di Amerika. Kita mereka bentuk banyak perkara, tetapi perlu menghasilkannya di sini,” katanya.

Perjanjian awal itu berpotensi memberikan Intel kontrak pengeluaran jangka panjang.

Sebelum ini, kerajaan AS menyokong Intel melalui pelaburan bernilai AS$8.9 bilion (kira-kira RM36.65 bilion), termasuk pegangan sekitar 10 peratus bagi memperkukuh sektor semikonduktor tempatan.

Trump turut mendakwa nilai Intel meningkat daripada sekitar AS$100 bilion (kira-kira RM411.7 bilion) kepada lebih AS$600 bilion (kira-kira RM2.47 trilion), sekali gus meningkatkan nilai pegangan AS dalam syarikat itu.

Bagaimanapun, Apple dan Intel masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement