CUPERTINO: APPLE Inc dilapor meningkatkan sasaran pengeluaran peranti iPhone boleh lipat pertamanya kepada sekitar 10 juta unit menjelang pelancarannya yang dijangka berlangsung pada September ini.
Laporan Amanz memetik Nikkei Asia menyebut peranti berkenaan, yang dikatakan mungkin menggunakan nama iPhone Ultra, kini mempunyai sasaran pengeluaran lebih tinggi berbanding unjuran terdahulu sebanyak tujuh hingga lapan juta unit.
Langkah itu dilihat mencerminkan keyakinan Apple terhadap permintaan dalam segmen telefon pintar premium serta kategori peranti boleh lipat yang semakin berkembang.
Menurut laporan tersebut, Apple telah mengarahkan pembekal bersiap sedia untuk menghasilkan kira-kira 10 juta unit peranti boleh lipat itu sepanjang 2026.
Jumlah berkenaan bagaimanapun hanya sebahagian daripada sasaran keseluruhan pengeluaran iPhone Apple yang dijangka melebihi 220 juta unit tahun ini.
Peningkatan sasaran itu dibuat ketika industri telefon pintar berdepan kekurangan bekalan cip memori susulan permintaan tinggi daripada sektor kecerdasan buatan (AI).
Keadaan itu turut menjejaskan beberapa pengeluar China termasuk Xiaomi, Oppo dan Vivo yang dilaporkan mengurangkan sasaran pengeluaran masing-masing kepada bawah 100 juta unit setahun.
Dalam pada itu, Apple dilapor sedang meneroka sumber bekalan cip memori tambahan termasuk daripada pengeluar China seperti ChangXin Memory Technologies (CXMT) dan Yangtze Memory Technologies (YMTC) bagi menyokong operasi di pasaran China.
Laporan itu menyebut perbincangan berhubung pembekalan komponen berkenaan masih berlangsung dan Apple belum mengesahkan sebarang kerjasama secara rasmi.