CUPERTINO: GERGASI teknologi Amerika Syarikat, Apple, secara rasmi mengumumkan penganjuran acara pelancaran produk terbaharunya bertemakan "Pro and Tell" yang dijadual berlangsung 29 Oktober ini, jam 1 pagi waktu Malaysia.
Bagaimanapun, syarikat yang berpangkalan di Cupertino itu setakat ini belum mendedahkan senarai peranti yang bakal diperkenalkan pada acara berkenaan.
Menurut Amanz yang memetik laporan industri, Apple dijangka menggunakan platform tersebut untuk memperkenalkan kemas kini besar bagi rangkaian komputer riba MacBook Pro serta peranti tablet iPad.
Salah satu produk yang dijangka menjadi tumpuan ialah model MacBook Pro yang dilapor bakal hadir dengan sokongan skrin sentuh buat kali pertama.
Peranti premium itu turut diramal menampilkan panel paparan OLED bagi menawarkan kualiti paparan yang lebih baik, selain dijana cip generasi terbaharu Apple M5 Pro dan M5 Max.
Komputer riba berkenaan juga dijangka tampil dengan reka bentuk yang lebih nipis serta ditawarkan dalam pilihan skrin 14 inci dan 16 inci.
Selain MacBook Pro dengan skrin sentuh, Apple turut dilaporkan memperkenalkan iPad Mini baharu yang dikatakan menggunakan teknologi skrin OLED buat kali pertama.
Rangkaian peranti baharu itu dilaporkan mula memasuki pasaran global seawal November depan selepas sesi pratonton media berlangsung minggu hadapan.